Dihanyutkan arus sungai, budak Orang Asli ditemukan lemas

Dihanyutkan arus sungai, budak Orang Asli ditemukan lemas

Syamley Nur Aleh Qarni Sham dihanyutkan arus ketika mandi bersama sepupunya di sungai belakang rumah neneknya semalam.

Mayat Syamley Nur Aleh Qarni Sham, 7, ditemukan pada 12.05 tengah hari tadi, kira-kira 1.8km dari tempat dia dilaporkan hilang semalam di Gua Musang. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang kanak-kanak Orang Asli berusia tujuh tahun ditemukan lemas dekat Sungai Nenggiri di Kampung Kuala Betis, Gua Musang, hari ini.

Ketua Polis Gua Musang Sik Choon Foo berkata, mayat Syamley Nur Aleh Qarni Sham ditemukan pada 12.05 tengah hari, kira-kira 1.8km dari tempat dia dilaporkan hilang semalam.

Mayat kanak-kanak perempuan itu ditemukan tersangkut pada dahan kayu di dasar sungai ketika operasi Unit Pasukan Penyelamat di Air Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pengkalan Chepa, katanya.

“Mayatnya (ditemukan) dalam keadaan sempurna oleh penduduk kampung yang turut serta dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat dan tindakan selanjutnya,” katanya, lapor Bernama.

Semalam dilaporkan Syamley Nur Aleh Qarni, yang menetap di Selangor, dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi bersama sepupunya di Sungai Brooke di belakang rumah neneknya.

Dua sepupunya sempat diselamatkan, namun mangsa dihanyutkan arus sungai, kata Komander Operasi Kanan Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang Nor Azizi Che Noh.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.