
Beliau berkata, kesemua mangsa berada dalam keadaan stabil dan tidak menunjukkan simptom serius.
Katanya, menerusi ujian, Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati kes keracunan tersebut disebabkan Salmonella, namun kes ini unik kerana ia menjadi akut lebih awal.
“Selalunya akan ambil masa enam hingga lapan jam (untuk menunjukkan gejala) tetapi dalam kes ini, dalam dua jam, ada yang meninggal dunia.
“Maknanya ia mungkin keracunan Salmonella dengan ketoksikan yang tinggi,” katanya pada sidang media di Kuala Selangor, lapor Bernama.
Pada 11 Jun lepas, Pengarah Kesihatan Selangor Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata, 82 daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas makan sarapan pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil).
Katanya, keracunan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa serta rasa.
Dzulkefly hari ini turut berpesan agar penjual dan pembeli terus berhati-hati dari aspek makanan, terutamanya melibatkan produk dalam talian.
“Walaupun kebanyakan produk dalam talian ialah produk tahan lama, kita tetap perlu amalkan pemeriksaan rapi seperti lihat, hidu dan rasa,” katanya.