Biar universiti tetap jumlah jam mengajar pensyarah, KPT diberitahu

Biar universiti tetap jumlah jam mengajar pensyarah, KPT diberitahu

Presiden Majlis Profesor Negara Raduan Che Rose berkata pengurusan universiti lebih memahami keperluan pensyarah dan programnya.

Kementerian Pendidikan Tinggi dilaporkan akan meneliti keperluan keseimbangan jumlah jam mengajar dalam kalangan pensyarah di universiti. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) digesa tidak campur tangan dalam menentukan keseimbangan jumlah jam mengajar bagi pensyarah di universiti sehingga terpaksa membuat dasar baharu, kata badan pemikir.

Presiden Majlis Profesor Negara, Raduan Che Rose, berkata tugas itu sepatutnya diselesaikan pengurusan universiti yang lebih memahami beban tugas dihadapi kakitangannya.

“Tak perlu sampai KPT campur tangan dan buat polisi, pentadbir universiti boleh fikirkan kaedah terbaik untuk pensyarah masing-masing.

“Misalnya pentadbiran universiti kurang beban dengan guna model hibrid maknanya campur antara kelas fizikal dan secara visual…naib canselor kena lebih kreatif dengan keperluan masing-masing,” katanya kepada FMT.

Selasa lalu, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abdul Kadir dilaporkan berkata KPT akan meneliti keperluan keseimbangan jumlah jam mengajar dalam kalangan pensyarah di universiti negara ini.

Katanya, purata jumlah jam mengajar di universiti ketika ini kira-kira 18 jam seminggu, antara dilema dihadapi pensyarah kerana ada tanggungjawab penting lain yang perlu dilaksanakan.

Mengulas lanjut, Raduan juga berpandangan keperluan setiap universiti berbeza antara satu sama lain serta kategori yang terdiri daripada penyelidik, komprehensif, berfokus dan Universiti-Universiti Teknikal Malaysia (MTUN).

Menurutnya, setiap daripadanya mempunyai penekanan, model, fungsi serta pemberat pensyarahnya yang berbeza.

“Sebagai contoh universiti penyelidik tak sampai 18 jam waktu mengajar tetapi banyak kepada penyelidikan, penyeliaan, penerbitan, pemindahan ilmu, konsultasi dan kerjasama industri serta masyarakat.

“Kalau universiti komprehensif seperti Universiti Teknologi Mara (UiTM) mengajar 18 jam seminggu dan ada tambahan bayaran jika lebih tempoh itu,” katanya.

Bagi pensyarah di Universiti Malaya, Muhammad Shamshinor Abdul Azzis, walaupun tidak menganggap waktu mengajar 18 jam seminggu membebankan namun bebanan lain seperti memenuhi tuntutan penyelidikan, penyeliaan, penulisan dan konsultasi juga perlu dilihat.

“Risau beban kerja ini menjejaskan kualiti kuliah, mungkin KPT boleh tetapkan had jumlah pelajar untuk satu kelas jumlah jam pengajaran.

“Jumlah pelajar ramai menyumbang bebanan menyemak tugasan selain mengurangkan kualiti apabila terlalu ramai dalam satu kelas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.