Penduduk kondominium lapor SPRM berkait ‘kartel JMB’

Penduduk kondominium lapor SPRM berkait ‘kartel JMB’

Penduduk kondominium di Mont Kiara mendakwa pengurusan JMB baru dilantik 18 bulan lalu dipercayai menganugerahkan kontrak penyelenggaraan RM3.3 juta kepada syarikat tidak bertauliah.

Wakil penduduk Dzulhilman Sulaiman menunjukkan dokumen dihantar kepada SPRM Putrajaya mengenai ‘penyelewengan dan salah laku kartel JMB’ di sebuah kondominium di Mont Kiara, Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Penduduk sebuah kondominium berstatus strata di Mont Kiara, Kuala Lumpur, membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ‘penyelewengan dan salah guna kuasa’ oleh jawatankuasa pengurusan bersama (JMB) kediaman itu.

Wakil penduduk, Dzulhilman Sulaiman, mendakwa pengurusan JMB yang baru dilantik 18 bulan lalu dipercayai menganugerahkan kontrak penyelenggaraan bernilai RM3.3 juta tanpa proses tender yang betul kepada syarikat tidak bertauliah dan tidak pernah diaudit sejak 2013.

Katanya, penduduk membabitkan 200 unit membayar antara RM800 hingga RM2,000 yuran penyelenggaraan bulanan yang dikira mengikut keluasan kediaman.

Perkara menimbulkan persoalan, dakwa Dzulhilman adalah berkaitan kontrak penyelenggaraan bangunan yang sebut harganya lebih tinggi walaupun hakikatnya nilai kontrak jauh lebih rendah, dan syarikat berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan individu dalam JMB.

Katanya, maklumat mengenai nilai kontrak itu diketahui menerusi pembentangan wakil JMB pada mesyuarat agung tahunan Disember tahun lalu.

“Tender ini berkait rapat dengan kontrak membaik pulih, landskap, penyelenggaraan tetapi kos sebenarnya tak sebegitu rupa, jadi kita minta siasat dengan syarikat-syarikat terlibat.

“Kita tak puas hati dan sebab itu hadir ke SPRM hari ini untuk menyerahkan bukti-bukti yang sudah kami kumpul mengenai salah laku dan pecah amanah pihak pengurusan JMB,” katanya kepada media selepas membuat laporan di SPRM Putrajaya.

Laporan dibuat Dzulhilman itu menyusul penularan dakwaan ‘kartel JMB’ yang turut dikaitkan dengan seorang wakil rakyat DAP, pegawai khasnya dan seorang lagi individu.

Mereka didakwa mencampuri urusan pelantikan kepimpinan JMB dan perbadanan pengurusan bersama (JMC).

Dakwa Dzulhilman, penduduk pada mesyuarat agung lalu sudah bersetuju supaya kontrak JMB terbabit dihentikan memandangkan pelbagai masalah.

“Ada beberapa ahlinya telah keluar kerana tak tahan, walaupun kita bersetuju tukar JMB tetapi malangnya penyerahan kuasa belum berlaku.

“JMB terbabit bawa pula ke Tribunal Perumahan dan Pengurusan Strata yang akhirnya mereka kalah, namun mereka bertindak membawa perkara ini ke Mahkamah Tinggi menyebabkan proses peralihan itu ambil masa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.