Jangan politikkan program penerangan kewarganegaraan

Jangan politikkan program penerangan kewarganegaraan

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution minta semua pihak memberikan ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas.

Saifuddin Nasution Ismail
Menteri Saifuddin Nasution dedah banyak pusat khidmat DUN terima permintaan berkait permohonan kewarganegaraan, daripada rakyat melibatkan anak. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail menggesa semua pihak supaya tidak mempolitikkan sebarang program taklimat dan penerangan berkaitan kewarganegaraan yang dianjurkan di pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau berkata banyak pusat khidmat DUN sama ada diwakili wakil rakyat kerajaan atau pembangkang menerima permintaan daripada rakyat berkaitan permohonan kewarganegaraan antaranya melibatkan anak luar nikah, anak angkat, anak lahir luar negara, atau ibu bapa berkahwin di luar negara.

“Janganlah ini dikalutkan sehingga menuduh satu gerakan tersusun untuk memberi warganegara secara borong,” katanya pada sidang media selepas majlis di Pusat Latihan Polis (Pulapol).

Beliau mengulas mengenai majlis taklimat dan penerangan kewarganegaraan anjuran Pusat Khidmat DUN Stulang yang dijadual pada 30 Jun ini, ditangguhkan selepas mencetuskan kontroversi dan kecaman awam.

Saifuddin meminta semua pihak memberikan ruang kepada wakil rakyat untuk menjalankan tugas.

“Pagi ini, saya menerima mesej daripada Ahli Parlimen di Kelantan yang menerima banyak aduan mengenai masalah kewarganegaraan.

“Ini kerana kawasannya berdekatan dengan Thailand, banyak kes kahwin dengan warga tempatan. Jadi apabila wakil rakyat menganjurkan program seumpama ini, ia perlu dilihat daripada kaca mata yang jernih,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.