
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood, berkata kenyataan boleh disalah tafsir perlu dielakkan dalam membangkitkan isu terbabit untuk mengekalkan hubungan baik pusat dengan negeri.
Katanya, permohonan negeri di Selatan itu boleh dipertimbang jika ada cara pembahagian lebih fleksibel, namun Nik Ahmad menjelaskan semua kaedah harus berpandukan Perlembagaan Persekutuan.
“Mungkin peratusan (kutipan hasil negeri) boleh dibincang, misalnya persekutuan ada jumlah cukai individu atau korporat sebanyak RM40 bilion dan mungkin Johor mahu 10% daripada jumlah itu. Pasti ia dapat mengurangkan salah faham yang mungkin timbul,” katanya kepada FMT.
“Berbincang untuk bersetuju lebih baik daripada membuat kenyataan yang kadangkala boleh disalah tafsir orang,” katanya.
Selasa lalu, kerajaan Johor mengemukakan permohonan secara rasmi supaya persekutuan mengembalikan sekurang-kurangnya 30% hasil cukai negeri kepadanya.
Permohonan itu disampaikan dalam sesi menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Menteri Besar Onn Hafiz Ghazi serta beberapa pegawai tinggi kerajaan persekutuan antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican.
Ahad lalu, Tunku Ismail menyuarakan harapan pada masa hadapan sekurang-kurangnya 20 hingga 30% daripada hasil negeri akan kembali ke Johor.