Anwar, Muhyiddin setuju selesai pertikaian peribadi

Anwar, Muhyiddin setuju selesai pertikaian peribadi

Dua pemimpin itu berkata keputusan itu selepas mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi dan keadaan semasa negara.

Muhyiddin Yassin dan Anwar Ibrahim setuju henti pertikaian peribadi dan prosiding di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin setuju untuk menyelesaikan saman difailkan di antara satu sama lain di luar mahkamah.

Dalam kenyataan bersama, dua pemimpin itu berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira saranan Hakim Mahkamah Tinggi dan keadaan semasa negara terutama melibatkan kelangsungan hidup rakyat.

“Kami setuju dan mengambil keputusan untuk memberhentikan pertikaian peribadi dan prosiding Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” menurut kenyataan bersama itu.

Kenyataan itu dikongsi di akaun rasmi Facebook Anwar dan Muhyiddin.

Tahun lalu, Muhyiddin menyaman Anwar dengan mendakwa perdana menteri itu memfitnahnya membabitkan isu pelupusan hutang peneroka Felda.

Anwar pula menyaman Ahli Parlimen Pagoh itu kerana dakwaan beliau menerima RM15 juta daripada kerajaan Selangor ketika menjadi penasihat ekonominya.

Mereka juga berharap keputusan itu diterima dan dihormati semua pihak selain menegaskan mereka tidak akan membuat sebarang kenyataan susulan berkait dengannya.

“Anwar dan Muhyiddin berharap perkara ini tidak dijadikan bahan yang boleh menggangu-gugat kesejahteraan dan kestabilan awam serta keyakinan rakyat kepada institusi kehakiman negara,” kata kenyataan itu.

 

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.