
Fahmi Moin berkata, justeru siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dijalankan polis tidak akan berhenti sehingga penjenayah sebenar diketahui.
“Siasatan diteruskan selepas ibu bapa Zayn didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan di Mahkamah Sesyen hari ini.
“Kertas siasatan awal memang dibuka bawah Seksyen 302 KK, tapi hari ini mereka (ibu bapa Zayn) dituduh bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya yang mewakili bapa Zayn di pekarangan mahkamah.
Terdahulu, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf masing-masing berusia 29 tahun didakwa atas tuduhan mengabai kanak-kanak autisme itu pada Disember tahun lalu.
Bagaimanapun, mereka mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syahliza Warnoh.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan PJU 10/1, Damansara Damai, antara jam 12 tengah hari 5 Dis 2023 hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.
Tertuduh dibebaskan dengan ikat jamin masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin, selain diarahkan melapor diri ke balai polis berhampiran sebulan sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah menetapkan 26 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Dalam pada itu, Fahmi berkata persoalan sama ada ibu bapa Zayn boleh dituduh semula mengikut Seksyen 302 KK bergantung kepada siasatan lanjut.
Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu Zayn memaklumkan pertuduhan ke atas pasangan terbabit dibuat berdasarkan bukti hasil siasatan dijalankan.
“Ini (tuduhan pengabaian) mungkin berdasarkan bukti yang ada dan berdasarkan keterangan saksi dipanggil.
“Alhamdulillah mereka (ibu bapa Zayn) gembira dan puas hati dengan siasatan polis, mereka seperti orang ramai mahukan keadilan buat Zayn,” katanya.