Memadai tuduh ibu bapa Zayn abai anak, kata Bukit Aman

Memadai tuduh ibu bapa Zayn abai anak, kata Bukit Aman

Polis cadang tuduh ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matiin kerana bunuh namun selepas perbincangan dengan Pejabat Peguam Negara memadai bawah Akta Kanak-Kanak.

Pengarah JSJ Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata segala kepakaran diguna untuk merungkai kes bunuh Zayn Rayyan walaupun ada pihak beranggapan tuduhan terhadap ibu bapanya ‘antiklimaks’.
PETALING JAYA:
Bukit Aman menjelaskan pendakwaan terhadap ibu bapa kanak-kanak autisme, Zayn Rayyan Abdul Matiin, hari ini adalah pertuduhan pilihan walaupun polis mencadangkan mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata bagaimanapun perbincangan mendalam bersama Pejabat Peguam Negara memutuskan mereka didakwa bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana pengabaian.

“Selepas perbincangan mendalam dijalankan antara pasukan polis dan Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan memutuskan tuduhan mengikut Akta Kanak-Kanak cukup memadai ketika ini,” katanya menurut Bernama pada sidang media di pejabatnya di Bukit Aman.

Beliau berkata, polis menggunakan segala kepakaran, tenaga kerja, dan maklumat yang ada merungkai kes terbabit walaupun sesetengah pihak mungkin beranggapan tuduhan dikenakan sebagai ‘antiklimaks’.

“Sehubungan itu, siasatan oleh polis tamat di sini dan semua kini di tangan pihak pendakwa raya, bagaimanapun siasatan lanjut boleh dijalankan sekiranya terdapat permintaan daripada pihak pendakwaan,” katanya.

Shuhaily turut memohon orang ramai tidak lagi membuat spekulasi berhubung kes itu dan membenarkan proses perbicaraan dijalankan dengan lancar bagi memberikan keadilan kepada mangsa.

“Kes ini amat sensitif kerana ia melibatkan seorang kanak-kanak istimewa dan tertuduh pula ibu dan bapanya, saya berharap masyarakat di luar sana berhenti membuat spekulasi mengenai kes ini agar keadilan kepada mangsa dapat dilaksanakan,” katanya.

Hari ini, Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf yang masing-masing berusia 29 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya atas pertuduhan mengabaikan Zayn dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya, Disember lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU Damansara Damai pada 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Dis 2023, mayat Zayn ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman Damansara Damai, selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri.

Ibu bapa kanak-kanak itu yang ditahan pada 31 Mei di sekitar Puncak Alam, direman 13 hari bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan.

Polis turut menahan datuk dan nenek Zayn pada 2.30 petang semalam di Subang Bestari, bagaimanapun mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.