
Tampil kali pertama di khalayak ramai sejak kejadian itu, pemain Selangor FC (SFC) berkenaan berkata kecederaan teruk menimpanya serta soal keselamatan membuatkannya mahu ‘menggantung but’ dan sanggup hilang gaji puluhan ribu ringgit.
“Saya beritahu isteri dan keluarga, saya tak kisah hilang gaji puluh-puluh ribu…hidup tenang di kampung dengan gaji RM50 sehari asalkan keluarga selamat serta tak hidup dalam ketakutan.
“Apa yang berlaku ini di luar jangkaan, saya tak boleh terima keluarga saya dalam ketakutan,” katanya sambil menitiskan air mata pada sidang media di Pusat Latihan SFC.
Kesan melecur daripada bekas simbahan asid itu jelas kelihatan di bahagian muka dan lengan Faisal yang dinobatkan sebagai penjaring tercantik dalam Piala Asia di Qatar.
Sepanjang sidang media bermula 2.30 petang itu, Faisal dikawal ketat pasukan keselamatan manakala pemberita hanya dibenarkan meninggalkan lokasi selepas pemain itu bergerak pulang.
Bagaimanapun Faisal yang berasal dari Pulau Pinang berkata beliau kembali bersemangat bermain bola selepas mendapat sokongan moral daripada pengurusan SFC, rakan, ahli keluarga dan orang ramai.
“Sejujurnya saya rindukan bola sepak, bukan mudah untuk saya terlantar di rumah dengan sekadar menonton pasukan Selangor dan Malaysia bermain melalui televisyen.
“Kaki memang menggigil dan hati meronta-ronta untuk bermain, namun buat masa sekarang saya perlu fokus kepada pemulihan,” katanya yang tidak dapat memberitahu bila dirinya boleh kembali ke padang bola sepak.
Faisal turut mendakwa dia tidak mempunyai musuh dengan mana-mana pihak yang mungkin menjadi dalang kepada kejadian serangan asid dihadapinya.
“Saya tak sombong denga semua orang…saya layan. Mungkin selepas ini saya akan jadi ‘sombong’ jika itu yang terbaik untuk diri saya (dari segi keselamatan),” katanya.