
Dalam kenyataan petang ini, FAM memaklumkan jawatankuasa rayuannya membuat keputusan tersebut semasa mesyuarat pertama bagi penggal 2025-2029 yang diadakan semalam.
Jawatankuasa itu memutuskan untuk mengekalkan hukuman yang dikenakan ke atas Selangor FC pada 14 Nov lepas, iaitu denda RM100,000 serta perintah supaya kelab itu beraksi dalam dua perlawanan seterusnya di gelanggang sendiri tanpa penonton.
Pada 17 Nov, Selangor FC menyatakan hasrat merayu keputusan itu, mendakwa tiada penyokongnya terlibat dalam insiden membakar atau membaling mercun di dalam stadium semasa perlawanan 29 Okt tersebut.
Kelab itu turut menegaskan penyokong mereka tidak terlibat merosakkan atau membaling kerusi stadium, selain menyangkal dakwaan bahawa salah seorang tetamu kenamaan (VVIP) mereka membaling objek ke arah penyokong pelawat.
Menurut Selangor FC, penyokong mereka tidak memulakan kekecohan di dalam stadium, sebaliknya ia didakwa berpunca apabila salah seorang penyokong pelawat membaling mercun ke arah kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah.
FAM sebelum ini mengenakan hukuman tersebut selepas jawatankuasa tatatertibnya mendapati Selangor FC bersalah atas lima tuduhan dan memberikan amaran keras bahawa hukuman lebih berat menanti jika kesalahan sama berulang.
Dalam perlawanan pada 29 Okt itu, yang merupakan aksi timbal balik suku akhir Piala FA, Selangor FC tewas 2-3 kepada Negeri Sembilan FC namun tetap mara ke separuh akhir menerusi agregat 6-3.