Datuk dilepas tanpa bebas 12 tuduhan lupus, pindah wang lebih RM4 juta

Datuk dilepas tanpa bebas 12 tuduhan lupus, pindah wang lebih RM4 juta

Bagaimanapun Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54, masih berdepan baki empat pendakwaan.

Ahmad Azwan Aboo Mansoor mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan, selepas pendakwaan menarik balik 12 daripada 16 pertuduhan pengubahan wang.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Sesyen melepas tanpa membebaskan seorang lelaki bergelar Datuk daripada 12 pertuduhan melupus dan memindahkan wang hasil aktiviti haram berjumlah lebih RM4 juta, lapan tahun lalu.

Hakim Suzana Hussin membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Rozaliana Zakaria memaklumkan pihaknya menarik balik semua pertuduhan terhadap Ahmad Azwan Aboo Mansoor, 54.

“Sebelum ini, tertuduh menghadapi 16 pertuduhan dan mohon mahkamah melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada 12 pertuduhan yang ditarik balik, manakala baki empat lagi pertuduhan akan diteruskan oleh pihak pendakwaan,” kata Rozaliana.

Peguam Harjinder Singh Sandhu, yang mewakili tertuduh, tidak mengemukakan sebarang bantahan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketujuh, Azwan didakwa melupuskan wang RM815,863.06 yang merupakan hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan miliknya di Bank Islam Malaysia Berhad, Cawangan Taman Melawati, antara April 2016 hingga April 2018.

Azwan turut berdepan lima pertuduhan memindahkan wang berjumlah RM3,020,299.98 iaitu hasil aktiviti haram daripada akaun simpanan miliknya ke satu lagi akaun banknya dan dua akaun bank masing-masing milik seorang lelaki serta sebuah syarikat di tempat sama, antara 11 Jun 2016 hingga 20 Dis 2017.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali nilai hasil aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Rozaliana memaklumkan mahkamah terdapat pindaan membabitkan empat lagi pertuduhan terhadap Azwan dan memohon semuanya dibacakan kepada tertuduh yang mengaku tidak bersalah.

Beliau didakwa menerima wang berjumlah RM3,961,003.03 iaitu hasil aktiviti haram yang didepositkan ke dalam akaun miliknya di Bank Islam cawangan Taman Melawati antara 11 Jan 2016 dan 9 Mac 2018.

Pada prosiding hari ini, Rozaliana dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohd ‘Afif Ali dan Haresh Prakash Somiah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.