Ambil semula cikgu bahasa Inggeris pencen bukan bawa dari Singapura, kata Rafidah

Ambil semula cikgu bahasa Inggeris pencen bukan bawa dari Singapura, kata Rafidah

Bekas menteri mengulas cadangan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu Singapura menghantar guru dari republik itu.

PETALING JAYA:
Kerajaan harus mempertimbangkan untuk menggaji guru bahasa Inggeris yang bersara daripada mengambil guru dari Singapura untuk mengajar bahasa itu dan mata pelajaran lain, kata bekas menteri Rafidah Aziz.

Rafidah berkata, jika Malaysia mengambil guru dari Singapura, mereka perlu dibayar dalam dolar Singapura, iaitu ‘tiga setengah kali ganda’ disebabkan kadar pertukaran mata wang.

“Mengapa tidak mengambil guru yang telah bersara di Malaysia yang mempunyai pengalaman dan cekap mengajar bahasa Inggeris? Terdapat ramai di sini, dan bayarlah mereka mengikut kadar gaji di Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Bekas menteri perdagangan antarabangsa dan industri itu mengulas kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam bahawa beliau berbincang dengan rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, mengenai kemungkinan membawa guru dari Singapura ke Malaysia.

“Kami memang ada berbincang mengenai kemungkinan Singapura menimbangkan permintaan saya agar menghantar guru-guru bagi mengajar bahasa Inggeris atau mata pelajaran lain ke beberapa kawasan di negara ini,” kata Anwar.

Wong tiba di Malaysia pada malam Selasa untuk lawatan kerja dua hari atas jemputan Anwar. Ini adalah lawatan sulung beliau ke Malaysia sebagai perdana menteri, selepas mengangkat sumpah pada 15 Mei.

Rafidah juga mencadangkan kerajaan menyemak semula sukatan pelajaran latihan guru untuk memasukkan kemahiran dalam bahasa Inggeris, dan sukatan pelajaran sekolah untuk mempertingkatkan kemahiran dalam bahasa itu.

“Untuk menjadikannya ‘tidak membebankan’, tidak perlu menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek peperiksaan. Cukup sebagai satu subjek sahaja, sebagai satu bahasa,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.