Tiada pengakuan bunuh daripada ibu Zayn di mahkamah

Tiada pengakuan bunuh daripada ibu Zayn di mahkamah

Peguam berkata ibu kanak-kanak enam tahun yang dibunuh itu sepatutnya dirakam ‘pengakuan’ sebaliknya memberi keterangan kepada majistret.

Ismanira Abdul Manaf
Ismanira Abdul Manaf diiringi ketat polis di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya, pagi ini.
PETALING JAYA:
Ibu kepada kanak-kanak enam tahun Zayn Rayyan Abdul Matiin tidak membuat sebarang pengakuan salah kerana membunuh di Mahkamah Majistret pagi ini, menurut peguamnya.

Mahmud Jumaat berkata, polis membawa Ismanira Abdul Manaf ke mahkamah bagi merekodkan ‘pengakuan’ tertentu mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.

Seksyen 26(1) Akta Keterangan 1950 memperuntukkan pengakuan salah oleh tertuduh semasa dalam jagaan polis tidak boleh dibuktikan bagi menentangnya, kecuali dibuat di hadapan hakim Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Majistret.

“Namun, menariknya di sini, puan Isma tidak buat sebarang pengakuan salah, sebaliknya beliau buat keterangan kepada majistret,” katanya pada sidang media selepas prosiding.

Mahmud menggesa orang ramai tidak membuat spekulasi berkait kes itu, terutama mengaitkan Ismanira dan suaminya, Zaim Ikhwan Zahari, dalam pembunuhan Zayn.

Dalam pada itu, peguam Zaim, Fahmi Moin menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung kerjasama polis dengan peguam mewakili pasangan itu, sambil menyatakan mereka hanya mengetahui Ismanira dibawa ke mahkamah hari ini selepas dimaklumkan pihak media.

“Kami hadir 11 pagi di mana kami hanya dimaklumkan oleh pihak media, bukan daripada polis, seawal jam 9.30 tadi pada pagi ini ada prosiding tertutup…katanya akan berlaku satu pengakuan diberikan,” katanya.

Prosiding itu bermula kira-kira 11 pagi dan berlangsung sejam di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Fahmi mendakwa prosiding itu prejudis terhadap Zaim kerana ia boleh menjejaskan pembelaan anak guamnya jika Ismanira dituduh.

Katanya, majistret merekodkan bantahan mereka berkait perkara itu, dan turut membantah bahawa Akta Keterangan tidak relevan dengan siasatan kes pembunuhan.

Zayn dilaporkan hilang pada 5 Dis lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200m dari blok rumahnya di Apartment Idaman, keesokannya.

Mayat mangsa ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari. Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.

Zaim dan Ismanira ditahan dan direman bermula 1 Jun lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.