Perlembagaan perlu ‘pindaan material’, perluas autonomi negeri lain, kata peguam

Perlembagaan perlu ‘pindaan material’, perluas autonomi negeri lain, kata peguam

Bastian Vendargon berkata ketika ini Sabah dan Sarawak sahaja menikmati kuasa autonomi seperti terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Hak dan autonomi kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan MA63 dan berbeza tahapnya berbanding negeri lain di Semenanjung, kata peguam Bastian Pius Vendargon. (Gambar National Archive)
PETALING JAYA:
11 negeri Malaya hanya mampu mendapat autonomi lebih besar sekiranya pindaan material dibuat ke atas Perlembagaan Persekutuan, kata peguam Perlembagaan.

Bastian Pius Vendargon berkata, premis kerangka semasa Perlembagaan adalah persekutuan, dengan Putrajaya mempunyai kuasa dan pengaruh besar.

“Hak, kewajipan, dan kuasa kerajaan persekutuan dan negeri-negeri Melayu telah dikenal pasti dan termaktub dalam Perlembagaan.

“Tambahan hak dan autonomi diberikan kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 pula mesti dipertimbang secara berasingan,” katanya.

Vendargon mengulas cadangan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bahawa dilakukan reform terhadap sistem persekutuan, menjadikan Johor dilayan sebagai rakan kongsi, seperti Sabah dan Sarawak.

Tunku Ismail, yang bertitah mencadangkannya sebagai pandangan peribadi, juga mahu melihat parti di Johor bersatu dan bergabung di bawah ‘Gabungan Bangsa Johor’ demi melindungi kepentingan negeri.

Titahnya, rakyat dan perniagaan di Johor menyumbang hampir RM49 bilion kepada kerajaan persekutuan setiap tahun, namun hanya menerima RM1.4 bilion daripada Putrajaya.

Vendargon berkata, Johor satu dari negeri Semenanjung tidak menikmati status sama seperti Sabah dan Sarawak, di mana diiktiraf sebagai wilayah ketika membentuk Malaysia, pada 1963.

Katanya, mengikut konsep federalisme, kerajaan pusat melaksanakan kebanyakan projek pembangunan, sambil menambah perlu dilakukan pindaan ‘serius’ jika negeri mahu diberikan autonomi.

Peguam Haniff Khatri Abdulla, berkata Johor tidak dapat dilayan sebagai rakan persekutuan mengambil kira ‘perspektif sejarah dan Perlembagaan’.

Beliau berkata, Persekutuan Tanah Melayu yang mana Johor merupakan sebahagiannya, dibentuk pada 1948 dan dalam perjanjian 1957, dengan Raja-Raja Melayu menyerahkan sebahagian besar hak untuk mentadbir negeri.

“Di bawah Jadual Kesembilan dan Perkara 74 Perlembagaan Persekutuan, kuasa negeri terbatas kepada beberapa perkara, termasuk Islam dan adat istiadat Melayu,” katanya.

Bagaimanapun, Sabah melalui perjanjian 20 perkara dan Sarawak menurut 18 perkara diberikan kuasa lebih luas termasuk pendidikan, imigresen, kerajaan tempatan, dan percukaian.

Peguam Abdul Shukor Ahmad menjelaskan Suruhanjaya Reid yang ditubuhkan sebelum merdeka, ditugas membuat syor bagi perlembagaan dalam ‘bentuk persekutuan’, melibatkan kerajaan pusat yang kuat.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Cobbold, dibentuk pada 1962, membabitkan Sabah dan Sarawak merujuk pengekalan hak selepas pembentukan Malaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.