Teliti kaedah penyasaran subsidi diesel demi kurang kesan berangkai, kata MB Terengganu

Teliti kaedah penyasaran subsidi diesel demi kurang kesan berangkai, kata MB Terengganu

Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penyasaran subsidi diesel sepatutnya dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan berangkai yang boleh membebankan rakyat.

Ahmad Samsuri Mokhtar
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penyasaran subsidi perlu dilakukan kerana berlaku ketirisan. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar meminta Putrajaya meneliti kaedah pelaksanaan penyasaran subsidi diesel bagi mengurangkan kesan berangkai yang boleh membebankan rakyat masih bergelut dengan kenaikan kos sara hidup.

“Kita sedar penyasaran subsidi memang perlu dilakukan kerana berlaku kebocoran kerana tanpa disedari, kita membiayai syarikat yang tiada kena-mengena dengan kita, orang luar dari negara kita dan sebagainya.

“Tapi, yang paling penting ialah mengurangkan kesan kepada rakyat dan itu yang saya rasa perlu diberi keutamaan sekarang ini,” katanya menurut Sinar Harian selepas Program Conference Of Head Academic Departments 2024 di Kuala Terengganu.

Beliau berkata penyasaran subsidi diesel sepatutnya dilakukan secara berperingkat bagi mengurangkan kesan berangkai akibat kenaikan mendadak harga diesel yang mula dirasai susulan pengumuman beberapa penyedia perkhidmatan dan pengeluar barangan yang mengumumkan kenaikan harga.

“Apa yang berlaku ini memeritkan bagi rakyat yang terpaksa berdepan peningkatan harga mendadak.

“Kalau (kenaikan harga diesel) secara berperingkat mungkin kesan itu boleh diserap dengan mudah dalam kalangan pengguna, terutama pengguna yang berkapasiti tidak terlalu besar.

“Persoalan ini yang saya rasa tidak mudah untuk diselesaikan. Saya ucap ‘good luck’ kepada pentadbiran (kerajaan persekutuan).”

Ahad lalu, kerajaan persekutuan mengumumkan pengapungan diesel pada harga RM3.35 seliter mulai Isnin lalu berbanding RM2.15 seliter sebelum ini.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata penyasaran subsidi diesel mampu jimat RM4 bilion setahun dan memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan untuk meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan kepada rakyat.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.