
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Nasir Deraman, berkata rampasan dibuat pada 9 pagi apabila pasukan serbuan membuat pemeriksaan ke atas 20 kontena di pelabuhan itu kerana disyaki ada barangan cuba diseludup masuk menggunakan kontena berkenaan.
“Hasil pemeriksaan terhadap kesemua kontena itu mendapati sebanyak enam buah kontena berisi minuman keras dengan jumlah keseluruhan minuman keras jenis bir pelbagai jenama sebanyak 149,825 liter.
“Anggaran nilai harga ialah RM484,788 dan anggaran duti sertai cukai terlibat sebanyak RM2,254,476,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Beliau berkata modus operandi yang dipercayai didalangi sindiket penyeludupan itu dengan memalsukan maklumat serta mengisytiharkan barangan itu sebagai barangan lain antaranya lampu, kunci dan jaring ikan.
Nasir berkata siasatan tertumpu kepada ejen perkapalan kerana barangan diisytiharkan dalam kontena itu berbeza dan tidak mematuhi peraturan digariskan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 52 dan 135 (1) (a) Akta Kastam 1967.