
Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob secara peribadi berpendapat tidak sesuai buat parti itu meletakkan syarat seperti perlu menjadi ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) selama dua penggal jika mahu bertanding lima jawatan tertinggi.
Menurutnya, syarat tersebut bukan sahaja tidak memberi ruang kepada muka baharu sebaliknya parti itu rugi kerana rakyat tidak melihat nama besar menerajui kepimpinan yang turut membantu menarik sokongan terutama dari ahli Umno.
“Saya sebagai Ahli Parlimen, malah bukan ketua bahagian pun… kalau ada sekatan, bagi saya agak merugikan parti.

“Kalau (wakil rakyat baharu Bersatu) tidak diberi peluang bertanding selain jawatan presiden, timbalan, naib…rugilah kerana ada pengaruh ditempatnya dan mungkin namanya boleh bawa pengaruh kepada PN,” katanya kepada FMT.
Sejak PRU14, ramai pemimpin parti lain menyertai Bersatu antaranya Hamzah Zainudin dari Umno selain bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali.
Hamzah dilantik sebagai setiausaha agung Bersatu manakala Azmin mengetuai Bersatu Selangor selain dilantik ketua penerangan Perikatan Nasional (PN).
Minggu lalu, Bersatu mengumumkan ahli yang berhasrat bertanding pada pemilihan Oktober depan perlu memohon kepada MPT selari dengan Fasal 14.14 dan 14.16 Perlembagaan Bersatu.
Sebelum ini wujud gesaan agar syarat bertanding jawatan tertinggi dilonggarkan bagi membolehkan lebih ramai individu berkelayakan mencalonkan diri.
Pendirian MPT yang memutuskan Muhyiddin Yassin kekal presiden, tumpuan kini tertumpu kepada jawatan timbalan presiden, kini disandang Ahmad Faizal Azumu.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ketereh Khlir Mohd Nor pula berkata beliau sebagai ahli Bersatu akur dengan keputusan yang telah ditetapkan oleh parti.
“Parti dah buat ketetapan jadi tak ada isu dalam perkara ini, kita cuma ikut sahaja,” katanya.