
Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata Jemaah Menteri mengambil maklum kenyataan dibuat beberapa pihak membabitkan hubungan kerajaan persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri.
Menurutnya, Malaysia terbentuk atas persetujuan semua negeri berlandaskan prinsip federalisme sebagai teras utama Perlembagaan Persekutuan dengan pembangunan turut berteraskan kekuatan semua negeri.
“Oleh itu, Perlembagaan Persekutuan menjadi asas dalam menjamin hak negeri, dan dalam menentukan hubungan antara kerajaan persekutuan dengan kerajaan-kerajaan negeri.
“Berkait perkara mengenai Sabah dan Sarawak, perbincangan ini berpandukan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri.
Kenyataan beliau itu menyusul susulan permohonan secara rasmi kerajaan Johor semalam supaya kerajaan persekutuan mengembalikan sekurang-kurangnya 30% hasil cukai negeri itu kepadanya.
Permohonan itu disampaikan dalam sesi menghadap Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dengan Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi serta beberapa pegawai tinggi kerajaan persekutuan antaranya Ketua Setiausaha Perbendaharaan Johan Mahmood Merican, semalam.
Ahad lalu, Tunku Ismail menyuarakan harapan pada masa hadapan sekurang-kurangnya 20-30% daripada hasil negeri akan kembali ke Johor.
Baginda turut menggesa reformasi sistem persekutuan, dengan Johor dilayan sebagai rakan kongsi serta mencadangkan parti politik di negeri itu bersatu dalam gabungan dikenali ‘Gabungan Bangsa Johor’ bagi menjamin kepentingan negeri.
Dengan melihat gabungan pemerintah Sarawak Gabungan Parti Sarawak terdiri daripada beberapa parti, Tunku Ismail menegaskan negeri itu telah menggunakan kelebihan berkenaan untuk berunding lebih berkesan dengan pihak berkuasa persekutuan.