‘Hadaplah kecaman, dulu anda cakap macam-macam’, KJ beritahu kerajaan

‘Hadaplah kecaman, dulu anda cakap macam-macam’, KJ beritahu kerajaan

Susulan kritikan terhadap subsidi diesel, Khairy Jamaluddin mengingatkan PH yang ia pernah 'cakap macam-macam' ketika menjadi pembangkang.

keluar-sekejap
Khairy Jamaluddin berkata, pemimpin PH tidak patut merungut mengenai kritikan diterima mereka berhubung isu subsidi diesel. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Pakatan Harapan perlu menerima kritikan atas keputusannya melaksanakan penyasaran subsidi diesel berbanding merungut mengenainya, kata bekas menteri kesihatan Khairy Jamaluddin.

Dalam episod terbaharu audio siar “Keluar Sekejap”, Khairy berkata, PH perlu menangani kecaman itu.

“Sebab awak dulu bila jadi pembangkang, cakap macam-macam. Macam herolah, macam menang hari ini, semua benda akan jadi ‘free’.

“Jadi, bila dah jadi kerajaan, dah tahu. Dah tahu buat kali pertama dalam hidup awak, menjadi seorang manusia yang bertanggungjawab. Jadi, kena hadaplah.

Beliau berkata kecaman dihadapi pemimpin kerajaan adalah hasil kenyataan dibuat mereka ketika menjadi pembangkang.

“Jangan merungut kerana dulu anda cakap macam-macam dan hari ini ludah itu jatuh pada muka, sapu sajalah.”

Pada 2013, Rafizi Ramli daripada PKR yang kini menteri ekonomi mengkritik keputusan kerajaan mengurangkan subsidi minyak.

Rafizi berkata, keputusan oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak untuk menaikkan harga minyak mendedahkan pengurusan kewangan lemahnya.

Tetapi, pada April lalu, beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan terus mengurangkan subsidi petrol dalam usaha menurunkan defisit fiskal.

Khairy turut mencadangkan pemansuhan subsidi petrol secara beransur-ansur kerana pelaksanaan secara menyeluruh akan memberi kesan ketara terhadap ekonomi negara, walaupun mempunyai sistem seperti Budi Madani.

Di bawah inisiatif itu, pemilik kenderaan diesel persendirian dalam kategori B40 akan menerima RM200.

Ahad lalu, kerajaan mengumumkan harga diesel dinaikkan daripada RM2.15 kepada RM3.35 seliter di Semenanjung Malaysia mulai Isnin lalu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.