
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, memaklumkan kepada FMT pasangan terbabit ditahan 2.30 petang tadi, namun tidak memaklumkan lokasi penahanan mereka.
Difahamkan, pasangan itu ditahan anggota Jenayah Berat (D9) IPK Selangor.
Zayn dilaporkan hilang pada 5 Dis lalu di Damansara Damai, sebelum ditemukan meninggal dunia berhampiran aliran anak sungai, kira-kira 200m dari blok rumahnya di Apartment Idaman, keesokannya.
Mayat mangsa ditemui kumpulan penduduk yang menjalankan operasi mencari. Hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher dan badan akibat mempertahankan diri.
Pada 1 Jun lalu, polis menahan reman ibu bapa Zayn, Ismanira Abdul Manaf dan Zaim Ikhwan Zahari dan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Ismanira dibawa ke Mahkamah Majistret pagi ini, tetapi menurut peguamnya, dia tidak membuat sebarang pengakuan salah kerana membunuh.
Mahmud Jumaat berkata, polis membawa Ismanira ke mahkamah bagi merekodkan ‘pengakuan’ tertentu mengikut Seksyen 26(1) Akta Keterangan.