Tindakan Nga tunjuk perlunya peraturan umum peruntukan, kata aktivis

Tindakan Nga tunjuk perlunya peraturan umum peruntukan, kata aktivis

Pengerusi Engage Thomas Fann berkata, garis panduan boleh mengelakkan potensi sumber negeri disalah guna.

Langkah menggunakan kelebihan penyandang untuk cuba mempengaruhi pengundi jelas menyebabkan pilihan raya di Malaysia tidak adil bagi pembangkang, kata aktivis Thomas Fann.
PETALING JAYA:
Seorang penyokong demokrasi menggesa agar garis panduan diperkenalkan bagi parti dalam kerajaan berhubung pengumuman peruntukan menjelang pilihan raya.

Thomas Fann berkata, garis panduan itu perlu disediakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jemaah Menteri.

“Ini untuk mengelakkan potensi sumber negeri disalah guna semasa pilihan raya,” kata pengerusi Engage itu kepada FMT.

Fann, yang juga bekas pengerusi Bersih, berkata demikian sebagai respons terhadap pengumuman Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming di Nibong Tebal hari ini mengenai peruntukan RM18 juta untuk pelbagai projek di Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang, bawah program Sentuhan Kasih.

Seberang Perai Selatan turut merangkumi DUN Sungai Bakap, yang dijadualkan mengadakan PRK pada 6 Julai.

Walaupun Nga menafikan peruntukan yang diumumkan hari ini mempunyai kaitan dengan PRK yang akan diadakan itu, Fann berkata, ‘mana-mana orang awam yang berfikiran wajar’ akan tahu perkara itu tidak patut dilakukan.

“Langkah yang tepat dan adil sepatutnya adalah tidak membuat pengumuman tentang peruntukan apabila pilihan raya sudah hampir.”

Fann berkata, langkah menggunakan kelebihan penyandang untuk cuba mempengaruhi pengundi jelas menyebabkan pilihan raya di Malaysia tidak adil bagi pembangkang.

Ia juga boleh dianggap sebagai penyalahgunaan sumber negeri, menurut Fann yang sebelum ini mengkritik Nga kerana mengumumkan peruntukan RM5.21 juta bagi penduduk Hulu Selangor sebelum PRK Kuala Kubu Baharu.

“Malangnya, parti sama yang lantang memprotes ketika menjadi pembangkang kini juga mengambil tindakan tidak beretika setelah menjadi kerajaan,” kata Fann.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.