Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci

Zuraida Mohd Haris, 37, dari Ampang, Selangor meninggal dunia akibat pendarahan otak di Hospital King Abdulaziz, Makkah pada 8.15 malam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar berkata, jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram selepas subuh. (Gambar Bernama)
MAKKAH:
Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci semalam, menjadikan keseluruhan lima orang setakat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Na’im Mokhtar berkata, Zuraida Mohd Haris, 37, dari Ampang, Selangor meninggal dunia di Hospital King Abdulaziz, Makkah pada 8.15 malam.

“Allahyarham meninggal dunia disebabkan pendarahan otak sebelah kanan selepas enam hari mendapatkan rawatan.

“Jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram sebelum dikebumikan selepas subuh, 5.07 pagi tadi di Tanah Perkuburan Syuhada Al-Haram,” katanya kepada petugas media di Ibu Pejabat Lembaga Tabung Haji (TH) di sini.

Na’im berkata, lima jemaah haji Malaysia meninggal dunia di sini akibat saluran darah utama pecah, serangan jantung, kegagalan fungsi organ dan pendarahan otak.

Beliau mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci dan TH akan melaksanakan badal haji buat semua jemaah terbabit dengan kos ditanggung Tabung Kebajikan Jemaah Haji Malaysia.

Sementara itu, Na’im berkata, 56 jemaah haji Malaysia sedang menerima rawatan, dengan 13 daripadanya dirawat di Hospital Arab Saudi dan 43 lagi di Pusat Rawatan TH Makkah.

“Jemaah yang dimasukkan ke Pusat Rawatan TH dan Hospital Arab Saudi disebabkan masalah berkaitan pernafasan seperti jangkitan kuman di paru-paru dan lain-lain penyakit seperti masalah jantung, darah tinggi, gangguan emosi (psikiatri), sakit otot serta sendi.

“Insya Allah, TH akan merawat pesakit ini dengan baik bagi memastikan jemaah haji dalam keadaan stabil dan kembali pulih.”

Berbaki empat hari menjelang hari wukuf, beliau mengingatkan jemaah haji terus menjaga kesihatan dan tidak terdedah terlalu lama dengan suhu panas di Tanah Suci.

“Kita sudah menjangkakan cuaca panas sepanjang musim haji antara 30 hingga 45 darjah Celcius. Oleh itu, jangan terdedah terlalu lama kepada cuaca panas. Minum air dengan banyak supaya tidak berlaku strok haba.”

Na’im turut mengingatkan jemaah haji mematuhi semua peraturan kerajaan Saudi dan mengikut arahan petugas TH.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.