
Presiden Mita, Mint Leong, berkata ini berikutan pengusaha bas persiaran terpaksa menanggung kerugian antara RM200 hingga RM250 sehari disebabkan penyasaran harga diesel bermula semalam pada kadar RM3.35 seliter.
“Kalau kereta bawa keranda boleh bagi subsidi kenapa bukan bas pelancong yang bawa duit datang sini,” katanya selepas menyerahkan memorandum kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing.
Memorandum itu diterima Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Mohd Yusri Mohd Yusoff .
Hadir sama 60 daripada keseluruhan 1,200 ahli Mita yang aktif.
Leong berkata, kenaikan RM1.20 harga diesel seliter membebankan pengusaha dan dikhuatiri memberi kesan kepada harga pakej pelancongan yang sudah membuat tempahan awal.
Ini berikutan ia akan meningkatkan kos operasi pengusaha secara mendadak memandangkan bas mereka beroperasi setiap hari dan menggunakan kira-kira 3,800 liter diesel sebulan.
Katanya, pemberian subsidi diesel kepada bas korporat dan bas persiaran beroperasi di Sabah dan Sarawak juga tidak adil kerana berlaku jurang perbezaan harga dengan bas sama yang beroperasi di Semenanjung.
Menurutnya, kerajaan perlu adil bagi mewujudkan persaingan sihat dalam industri, dan tanpa pemberian subsidi diesel pihaknya khuatir ia akan turut menjejaskan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Kementerian habiskan banyak duit untuk promosi, tapi kita hilang daya saing dengan negara jiran (disebabkan isu subsidi diesel),” katanya.
Leong berharap, kerajaan mempertimbangkan permohonan Mita atau mereka terpaksa mengenakan caj tambahan kepada pelancong untuk menampung peningkatan kos.
Tiada rancangan
Sementara itu, dalam sidang media di satu majlis di Pulau Pinang Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, kerajaan tiada perancangan memberikan subsidi diesel untuk bas persiaran kerana ia sebahagian besarnya digunakan oleh pelancong asing.
Beliau turut menegaskan, syarikat bas dan van lain akan menerima subsidi sebagai ganti harga diesel yang diapungkan.
Katanya, tiada syarikat boleh menaikkan harga tanpa memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
Ahad lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan ketika mengumumkan mekanisme baharu harga diesel berkata, pelaksanaan subsidi secara bersasar dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan RM4 bilion setahun dan mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk jangka masa panjang.
Kerajaan bagaimanapun masih memberi bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).
Sektor pengangkutan awam darat berkelayakan dalam SKDS termasuk bas ekspres, bas sekolah, ambulans dan bomba kekal pada harga RM 1.88 seliter.
Manakala, bagi SKDS 2.0 kenderaan logistik berkelayakan akan menggunakan kaedah kad fleet bagi membendung kesan terhadap harga barangan pengguna, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter.
Penyasaran semula subsidi diesel itu tidak melibatkan Sabah dan Sarawak.