PRM anggap masih relevan, mungkin tanding PRK Sg Bakap

PRM anggap masih relevan, mungkin tanding PRK Sg Bakap

Presidennya Ahmad Jufliz Faiza berkata kekalahan di PRK Kuala Kubu Baharu bukan penamat untuk parti itu terus menyertai pilihan raya.

Ahmad Jufliz Faiza berkata parti itu mahu bertanding dalam PRK Sungai Bakap kerana menganggap PRM mampu memberi sumbangan kepada negeri dan negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Parti Rakyat Malaysia (PRM) tidak menolak kemungkinan untuk bertanding di PRK Sungai Bakap walaupun parti itu sebelum ini hilang deposit pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Presidennya, Ahmad Jufliz Faiza berkata, kekalahan di PRK Kuala Kubu Baharu ia bukan penamat untuk parti itu terus menyertai pilihan raya kerana mereka masih mampu memberi sumbangan kepada negeri dan negara.

“Minggu ini pucuk pimpinan pusat akan buat mesyuarat untuk memuktamadkan dan pemilihan calon akan dibuat sekiranya kita bertanding (di PRK Sungai Bakap).

“Kita bertanding kerana bagi kita PRM merupakan parti politik yang masih relevan, malah sejak 1955 perjuangan PRM masih tak berubah, kami menentang apa juga bentuk kronisme, kapitalisme, dan penindasan yang tidak memihak kepada rakyat,” katanya kepada FMT.

Dalam PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei lalu, calon Pakatan Harapan dari DAP Pang Sock Tao menang dengan majoriti 3,869 undi dalam pertandingan empat penjuru.

Pang memperoleh 14,000 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional, Khairul Azhari Saut daripada Bersatu yang mendapat 10,131 undi, Hafizah Zainuddin dari PRM serta calon bebas Nyau Ke Xin masing-masing mendapat 152 dan 188 undi.

Jufliz berkata, PRM sering bertanding dalam mana-mana pilihan raya di Pulau Pinang dan pada PRU 2018 parti itu pernah bertanding di Sungai Bakap menerusi calonnya, Tan Joon Long.

“Sebelum ini banyak pilihan raya kita masuk bertanding malah kongres PRM dua tahun lepas kita sudah tetapkan PRM akan bertanding 150 kerusi Parlimen ini menunjukkan jiwa besar dan komitmen kita dalam menyertai pilihan raya,” katanya.

Pada PRU 2018, Tan hanya berjaya memperoleh 55 undi dan kerusi DUN Sungai Bakap dimenangi calon PKR, Amar Pritpal Abdullah.

Kerusi DUN Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya daripada PAS, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK Sungai Bakap diadakan pada pada 6 Julai ini.

Zamri menang kerusi itu pada Ogos tahun lalu dengan majoriti 1,563 undi, menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dalam pertembungan dua penjuru.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.