Permudah kaedah mohon bantuan subsidi diesel, kerajaan diberitahu

Permudah kaedah mohon bantuan subsidi diesel, kerajaan diberitahu

Presiden Bersatu Sasa Malaysia (Bersama) Danial Marnokaran Abdullah berkata kerajaan perlu memperkemas proses permohonan bagi memastikan tiada siapa ketinggalan menerima bantuan Budi Madani.

Harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula semalam.
PETALING JAYA:
Kerajaan digesa memperkemas kaedah permohonan bantuan subsidi diesel – Budi Madani, dengan memberi fokus kepada penduduk luar bandar khususnya petani yang didakwa masih keliru mengenai pelaksanaannya.

Presiden Bersatu Sasa Malaysia (Bersama), Danial Marnokaran Abdullah, berkata data Kementerian Kewangan yang menunjukkan hanya 60,000 permohonan berbanding 300,000 pemilik kenderaan diesel individu manakala 110,000 pengusaha agri-komoditi, membuktikan kesedaran mengenai program itu masih rendah.

“Mengakses platform dalam talian boleh menjadi cabaran bagi sesetengah orang, terutama golongan tua dan mereka yang berada di kawasan terpencil.

“Kerajaan perlu memperkemas proses ini dan menyediakan kaedah alternatif untuk permohonan bagi memastikan tiada siapa yang ketinggalan menerima bantuan ini,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit di Semenanjung ditetapkan pada kadar RM3.35 seliter iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula semalam.

Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan inisiatif Budi Madani bertujuan memastikan peruntukan subsidi disasarkan kepada mereka yang layak dan mengurangkan beban golongan memerlukan, dengan pemberian RM200 bantuan tunai bulanan.

Pendaftaran bagi Budi Madani dibuka pada 28 Mei lalu dan tiada tarikh tutup ditetapkan untuk permohonan bantuan itu.

Selain Budi Madani, kerajaan turut mengurangkan beban dengan meneruskan bantuan subsidi kepada kenderaan pengangkutan awam darat serta pengangkutan barangan menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu mengakui wujud kekeliruan pada peringkat awal dalam kalangan petani mengenai pelaksanaan program itu namun ia dapat ditangani dengan baik selepas beberapa sesi libat urus.

Menurutnya, sebarang perkara berbangkit diharap dalam diselesaikan dalam tempoh sebulan dua selepas ia dilaksanakan, pada masa sama kementeriannya akan turun ke setiap negeri untuk memberi pencerahan kepada petani dan pekebun kecil.

Mengulas lanjut, Danial berharap pelaksanaan penyasaran subsidi dipantau dengan ketat bagi memastikan ia disalurkan kepada penerima benar-benar layak.

“Ketelusan dalam pelaksanaan program ini penting untuk mengelakkan penyalahgunaan. Pemantauan dan penguatkuasaan ketat diperlukan untuk pastikan subsidi ini sampai kepada penerima layak dan tidak dieksploitasi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.