
Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan berkata berapa ramai yang akan dipanggil bergantung kepada siasatan kes itu.
“Polis akan menyiasat semua pihak berkaitan dan saya juga difahamkan Kementerian Kesihatan telah arah penutupan kantin sekolah terbabit,” katanya menurut Sinar Harian dalam sidang akhbar di IPK Selangor.
Beliau berkata, semakan polis dengan pihak hospital mendapati ada individu mengadu sakit, tetapi keadaan mereka tidak serius.
“Setakat ini, mangsa yang maut melibatkan lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.”
Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor dilaporkan mengarah pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan yang disyaki menjadi punca keracunan makanan dalam program sekolah itu.
Jabatan Kesihatan Negeri Selangor pula dilaporkan berkata bihun goreng dan telur mata punca keracunan makanan membabitkan 82 orang, termasuk dua mangsa yang meninggal dunia semalam.
Katanya siasatan mendapati mereka yang memakan sarapan pagi dibekalkan kepada guru dan urusetia program oleh pengendali makanan dari luar itu mengalami gejala cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya.
Menurutnya 28 kes mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke wad. Dua kes dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan dari mana-mana fasiliti kesihatan.