Mahkamah Persekutuan dengar permohonan Rewcastle Brown 10 Sept

Mahkamah Persekutuan dengar permohonan Rewcastle Brown 10 Sept

Peguam Haaziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah berkata pendengaran akan diadakan dalam talian melalui aplikasi Zoom, kecuali jika mahkamah mengarahkan sebaliknya.

Sultanah-Nur-Zahirah_rewcastle-brown-
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman fitnah terhadap Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain pada 2018 atas dakwaan penulis itu membuat kenyataan memfitnah dalam bukunya.
PUTRAJAYA:
Mahkamah Persekutuan menetapkan 10 Sept ini untuk mendengar permohonan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown dan dua yang lain untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan mendapati mereka bertanggungjawab memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.

Tarikh pendengaran itu ditetapkan pada prosiding pengurusan kes di depan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan. Husna Dzulkifly di sini, hari ini.

Peguam Haaziq Pillay Abdullah yang mewakili Sultanah Nur Zahirah ketika dihubungi Bernama mengesahkan tarikh itu dan berkata pendengaran akan diadakan dalam talian melalui aplikasi Zoom, kecuali jika mahkamah mengarahkan sebaliknya.

Pada 30 Mei lalu, Mahkamah Persekutuan menangguhkan pendengaran itu selepas peguam utama Rewcastle Brown, Americk Singh Sindhu tidak dapat log masuk ke prosiding dalam talian kerana isu teknikal.

Hakim Nallini Pathmanathan yang mempengerusikan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan memaklumkan kepada pihak berkaitan bahawa mahkamah akan menetapkan tarikh pengurusan kes untuk menjadualkan semula tarikh pendengaran baharu.

Rewcastle-Brown memohon kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mendapati beliau, penerbit Gerakbudaya Enterprise Chong Ton Sin dan pencetak Vinlin Press Sdn Bhd bertanggungjawab atas fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah dalam bukunya “The Sarawak Report – The Inside Story of the 1MDB Expose”.

Mahkamah Rayuan memerintahkan ganti rugi RM300,000 dibayar kepada Sultanah Nur Zahirah kerana memfitnah.

Pada 12 Dis 2023, Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2022 yang menolak tuntutan saman RM100 juta oleh Sultanah Nur Zahirah terhadap editor, Chong dan Vinlin Press.

Mahkamah Rayuan memutuskan pada masa penerbitan buku itu, kenyataan tersebut bertujuan memperlekehkan Sultanah kepada kebencian, sindiran atau penghinaan.

Sultanah Nur Zahirah memfailkan saman pada 2018 mendakwa defendan (Rewcastle Brown, Gerakbudaya Enterprise dan Vinlin Press) memfitnahnya dalam buku itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.