
“Exco Pulau Pinang – dengan segala hormatnya – tidak mempunyai locus standi untuk mengumumkan spesifikasi projek itu,” katanya kepada pemberita sebagai respons kepada Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital negeri Zairil Khir Johari yang berkata kerajaan negeri dan MRT Corp sedang meneroka sistem LRT berkapasiti ‘rendah hingga sederhana’.
Sistem itu banyak dibahaskan beberapa bulan kebelakangan ini, dengan penganalisis pengangkutan dan kumpulan masyarakat sivil mendakwa, LRT tidak boleh dilaksanakan di Pulau Pinang.
Sementara itu, Loke berkata, sebagai pengerusi Asean tahun depan, Malaysia akan memberikan tumpuan kepada usaha menghidupkan semula Asean Rail Link untuk merapatkan jurang dalam rangkaian.
Katanya, terdapat kereta api domestik di negara-negara Asean, tetapi wujud keperluan memudahkan pelepasan kastam dan imigresen yang lebih cepat di pusat pemeriksaan sempadan agar penumpang dan barangan boleh bergerak tanpa halangan antara negara anggota.
Beliau berkata, kereta api itu dikonsepkan kira-kira dua dekad lepas, sebagai sebahagian daripada Laluan Kereta Api Pan-Asia Kunming-Singapura.
Katanya, beliau juga bersedia memberi taklimat kepada bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai sistem RTS Johor Bahru-Singapura.
Semalam, Mahathir membangkitkan kebimbangan mengenai projek merentasi Selat Johor itu, yang didakwanya akan mengganggu laluan kapal.
Dalam hantaran di X, beliau mengulangi gesaannya pada 2003 agar sebuah jambatan dibina bagi menggantikan Tambak Johor, yang akan memudahkan pergerakan lalu lintas laut di sepanjang selat itu.
Dalam perkara berasingan, Loke berkata kerajaan tiada perancangan untuk memberikan subsidi diesel bagi bas persiaran kerana ia sebahagian besarnya digunakan oleh pelancong asing.
Beliau turut menegaskan, syarikat bas dan van lain akan menerima subsidi sebagai ganti harga diesel yang diapungkan. Katanya, tiada syarikat boleh menaikkan harga tanpa memaklumkan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).