Jais arah henti khidmat bekalan makanan selepas 2 maut keracunan

Jais arah henti khidmat bekalan makanan selepas 2 maut keracunan

Seorang kanak-kanak dua tahun dan pelajar Tingkatan 5 maut dipercayai akibat keracunan selepas memakan bihun dan telur goreng dibawa pulang dari sebuah sekolah di Gombak.

Mohd Shahzihan Ahmad
Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, laporan kejadian keracunan makanan diterimanya Ahad lalu, tetapi masih menunggu laporan kes dua kematian itu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan disyaki menjadi punca keracunan makanan dalam program Amal Islami di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Cincin, Gombak yang menyebabkan dua individu maut.

Pengarahnya, Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu sudah dimaklumkan kepada Bahagian Pendidikan Islam Jais.

“Kita telah mengarahkan untuk menghentikan perkhidmatan (bekalan makanan) sehingga punca sebenar 33 guru mengalami sakit perut dan (menyebabkan) kematian dua individu terbabit diperoleh Jais,” katanya menurut Sinar Harian.

Seorang kanak-kanak perempuan dua tahun dan pelajar Tingkatan 5 maut dipercayai akibat keracunan makanan semalam.

Dua mangsa itu meninggal dunia dua hari selepas dipercayai memakan bihun dan telur goreng disediakan untuk program di sebuah sekolah di Gombak Sabtu lalu.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni dilaporkan berkata, Kementerian Kesihatan sedang menyiasat kes keracunan makanan itu.

Shahzihan berkata, laporan kejadian keracunan makanan itu diterimanya Ahad lalu, tetapi Jais masih menunggu laporan kes kematian terbabit.

Menurutnya, program Amal Islami itu diadakan di SRA Sungai Cincin, Gombak yang menjadi tuan rumah tahun ini.

“Jais amat berdukacita atas apa yang berlaku dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.