
Dr Ummi Khalthom Shamsudin berkata, siasatan mendapati mereka yang memakan sarapan pagi dibekalkan oleh pengendali makanan luar kepada guru dan urusetia program Amal Islami di Sekolah Rendah Agama (SRA) Sungai Cincin mengalami gejala cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya.
“Keracunan makanan disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa telah berubah rupa dan rasa,” katanya dalam kenyataan sambil menjelaskan mangsa berusia antara 1 tahun 7 bulan hingga 58 tahun.
Beliau berkata, seramai 28 mangsa telah mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar, manakala dua dilaporkan meninggal dunia tanpa menerima sebarang rawatan daripada mana-mana fasiliti kesihatan.
“Kes pertama, seorang remaja lelaki berumur 17 tahun, dan kes kedua (melibatkan) kanak-kanak perempuan berumur 1 tahun 7 bulan.
“Kedua-duanya memakan makanan disyaki dibawa pulang oleh ahli keluarga,” katanya.
Ummi Khalthom berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan kes baharu dan tindakan kawalan serta pencegahan bagi mengawal kejadian wabak keracunan makanan ini juga telah dijalankan.
“Sampel makanan diambil pada hari kejadian telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
“Mana-mana individu terlibat yang mengalami gejala diminta segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi.”
Susulan kejadian itu, Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mengarahkan pihak perkhidmatan makanan menghentikan bekalan disyaki menjadi punca keracunan makanan.