Pencawang padat TNB sebelah gereja Kepong terbakar

Pencawang padat TNB sebelah gereja Kepong terbakar

Jurucakap bomba berkata Gereja Katolik Jesus Caritas tidak terjejas.

Pencawang TNB bersebelahan sebuah gereja di Kepong terbakar tadi. (Gambar X)
PETALING JAYA:
Sebuah pencawang padat Tenaga Nasional (TNB) bersebelahan Gereja Katolik Jesus Caritas di Kepong, Kuala Lumpur terbakar tadi.

Jurucakap bomba beritahu FMT bahawa gereja itu tidak terjejas dan tiada kehilangan nyawa atau kecederaan.

Sementara itu, bomba dalam kenyataan berkata jentera bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada 7.14 malam.

“Kebakaran berjaya dipadamkan pada 9.21 malam,” kata Komander Operasi Kanan Mohd Azhar Harun.

Beliau berkata kebakaran melibatkan sebuah ‘substation transformer’, dan pasukan yang melakukan pemadaman berdepan kemerbahayaan arus elektrik di lokasi

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” tambahnya.

Sementara itu, TNB Careline dalam satu catatan di Facebook memaklumkan bekalan elektrik yang terjejas di kawasan Jalan Kepong Baru, ekoran kebakaran tadi, dalam proses pemulihan secara berperingkat bermula 9 malam.

“Bekalan elektrik dijangka pulih sepenuhnya pada 12:00 tengah malam,” katanya, dan menambah pepasangan TNB yang terbakar itu memberi bekalan kepada gereja bersebelahan.

“Kami memohon maaf di atas segala kesulitan dialami oleh pengguna semasa gangguan bekalan ini,” katanya.

FMT sedang mendapatkan pihak gereja.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.