
Presiden Persekutuan Persatuan Syarikat Permotoran dan Kredit Malaysia (FMCCAM), Tony Khor, mendedahkan pihaknya mengambil inisiatif itu untuk menarik pelanggan yang ketika ini dilihat cenderung membeli kenderaan baharu.

Dakwanya, jumlah jualan kereta terpakai di negara ini kekal sekitar 400,000 hingga 450,000 unit setahun sejak tiga dekad lalu, namun segmen kenderaan baharu merekodkan hampir 800,000 unit tahun lalu.
Menurutnya, keadaan itu berbeza 30 tahun lalu apabila penjualan kereta baharu hanya sekitar 150,000 unit setahun.
“Sebab itu kita ambil pelbagai inisiatif seperti memanjangkan tempoh jaminan atau waranti sama seperti dinikmati pembeli kereta baharu…contohnya tingkatkan perbatuan kepada 250,000 km atau umur kereta hingga 15 tahun.
“Waranti lanjutan merangkumi komponen kritikal termasuk enjin, kotak gear, unit kawalan elektronik (ECU), sistem brek,” katanya kepada FMT sambil menjelaskan premium dikenakan hanya RM200 hingga RM300 untuk menikmatinya.
“Kita optimis inisiatif ditawarkan itu dapat membantu menangani kebimbangan pemain industri dan merangsang permintaan kereta terpakai di pasaran.”
Malaysia belum sedia untuk EV?
Mengulas penjualan kenderaan elektrik (EV), Tony berpendapat masih banyak cabaran untuk memperkenal dan menggalakkan penggunaan di negara ini antaranya kos penyelenggaraan selain harga petrol RON95 masih rendah.
Katanya, faktor tangga gaji yang menyebabkan majoriti pembiayaan perlu dibuat selama sembilan tahun namun pada masa sama jangka hayat bateri EV biasanya hanya bertahan sembilan tahun.
“Ia sangat mahal sekitar 40-50% daripada harga kereta,” katanya yang turut menyatakan kemudahan pengecasan pantas belum lagi menyeluruh.
“Stesen pengecas di Malaysia hanya ada 1,434, kebanyakannya pengecas AC (pengecas dinding) yang mengambil masa lama. Hanya ada 384 pengecas arus terus (DC), yang tidak mencukupi dan perlahan berbanding negara lain.”
Baru-baru ini, Persatuan Kenderaan Pelepasan Karbon Sifar (Zeva) menyasarkan jualan EV dijangka mencecah sehingga 20,000 unit tahun ini berdasarkan trend semasa, memerlukan lebih banyak stesen pengecasan diwujudkan.
Tahun lalu, sebanyak 13,257 unit kenderaan elektrik dijual.