
Ketua Polis Rompin, Nor Azman Yusof, berkata kejadian sekitar 1 pagi berlaku ketika bas membawa 39 orang termasuk dua pemandu dalam perjalanan dari Sekolah Kebangsaan Jeram, Masjid Tanah, Melaka ke Terengganu untuk menghadiri program penanda aras.
Katanya, mangsa maut di tempat kejadian ialah seorang guru, Hasnatul Adilah Hassan, 48; manakala pemandu kedua bas, Mohd Adi Hasan, 29, meninggal dunia ketika dibawa ke hospital; dan seorang pembantu operasi sekolah Hamzah Ahmad, 60, meninggal dunia semasa mendapat rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku dalam keadaan gelap di simpang tiga Bahau apabila bas yang hilang kawalan itu melanggar sebuah treler membawa muatan gelung besi, sebelum terbalik di cerun jalan,” katanya menurut Bernama.
Nor Azman berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Muadzam Shah, Rompin dan HTAA untuk menerima rawatan.
Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.