Putera MIC umum ketua, timbalan baharu

Putera MIC umum ketua, timbalan baharu

Shatesh Kumar Sangar dan Amarveen Malairaja menang tanpa bertanding pada pemilihan sayap hari ini.

Shatesh Kumar Sangar
Ketua Putera MIC baharu Shatesh Kumar Sangar berkata sayap itu akan melaksanakan tiga inisiatif dalam agenda pemerkasaan dan penghakupayaan belia India.
PETALING JAYA:
Sayap Putera parti MIC mengumumkan Shatesh Kumar Sangar sebagai ketua baharunya, selepas menang tanpa bertanding pada pemilihan hari ini.

Shatesh, yang juga setiausaha akhbar kepada menteri perpaduan negara, akan memikul tanggungjawab itu bagi penggal 2024 hingga 2027. Beliau pernah menjadi timbalan ketua sayap pada penggal lalu.

Turut diumumkan timbalan ketua baharu, Amarveen Malairaja Karuppanan, yang juga menang tanpa bertanding.

Menurut kenyataan dikeluarkan oleh Putera MIC, Shatesh berkata sayap itu akan memberi penekanan pada agenda pemerkasaan dan penghakupayaan belia komuniti India.

“Melalui agenda ini, tiga inisiatif bakal diketengahkan oleh sayap ini iaitu Sekolah Politik MIC, Kempen Undi18, dan Siswa MIC,” katanya, yang yakin usaha itu akan dapat menarik sokongan anak muda kepada parti komponen Barisan Nasional.

“Inisiatif ini akan menjadi platform yang terbuka untuk berbincang aspirasi kumpulan sasaran sayap Putera MIC.”

Putera MIC adalah satu daripada empat sayap MIC, yang dianggotai belia berusia 18 hingga 30 tahun.

Sejak penubuhanya, sayap itu fokus pada pembangunan belia dan program berteraskan pendidikan tinggi.

Sementara itu, Majlis Tertinggi Putera MIC merakamkan terima kasih dan penghargaan kepada Presiden SA Vigneswaran dan timbalannya, M Saravanan, atas sokongan kepada sayap berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.