Muda cadang tanding PRK Sungai Bakap, kata sumber parti

Muda cadang tanding PRK Sungai Bakap, kata sumber parti

Sumber berkata Muda mahu kenal pasti trend pengundian terhadap prestasi PH dan PN.

Pemimpin Muda Pulau Pinang berkata parti sudah melakukan kerja lapangan terutama di Sungai Bakap. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Masa yang tepat untuk Muda bertanding PRK Sungai Bakap di Pulau Pinang memandangkan reputasi Pakatan Harapan (PH) dilihat semakin menyusut, kata seorang pemimpin parti.

Pemimpin parti di negeri itu yang enggan dinamakan berkata, Muda mempunyai peluang ‘selepas kerja lapangan dilakukan di Pulau Pinang terutama di kawasan tersebut’.

Sumber berkata, Muda mahu kenal pasti trend pengundian terhadap PH dan Perikatan Nasional (PN), masing-masing sebagai kerajaan dan pembangkang.

Data terkumpul parti menunjukkan reputasi PH dalam kalangan pengundi mereka menurun kesan prestasi gabungan itu. Pengundi tidak berpuas hati dengan dua gabungan tersebut boleh menjadikan Muda pilihan, yang mana aktif mahu dilihat sebagai kuasa ketiga, kata sumber.

Pada PRN enam negeri tahun lalu, Muda membariskan 19 calon, namun semuanya hilang deposit.

Sumber berkata, parti masih menganalisis pro dan kontra mengambil bahagian pada PRK Sungai Bakap. “Saya percaya masa tepat untuk kenal pasti trend.”

FMT sedang mendapatkan ulasan daripada Setiausaha Agung Muda Amir Abd Hadi.

Kerusi Sungai Bakap kosong susulan kematian penyandangnya daripada PAS, Nor Zamri Latiff, pada 24 Mei. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRK DUN itu pada 6 Julai.

Zamri menang kerusi itu pada Ogos tahun lalu dengan majoriti 1,563 undi, menewaskan calon PH, Nurhidayah Che Rose dalam pertembungan dua penjuru.

Semalam, Pengerusi PH Anwar Ibrahim berkata gabungan itu akan mengumumkan calonnya minggu depan, manakala PN pula dilaporkan pada 16 Jun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.