LLM, syarikat konsesi diarah periksa dakwaan keretakan di SPE

LLM, syarikat konsesi diarah periksa dakwaan keretakan di SPE

Lebuhraya Setiawangsa-Pantai dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lalu mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

Hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) semakin besar. (Gambar X)
KUALA LUMPUR:
Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) diarah membuat pemeriksaan dan penilaian segera di persimpangan bertingkat lebuh raya itu di Jalan Cheras yang didakwa retak.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, menerusi akaun X berkata keselamatan semua pihak terutama pengguna jalan raya amat dititikberatkan.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada satu hantaran menerusi akaun X berserta gambar yang mendakwa keretakan di persimpangan bertingkat lebuh raya berkenaan semakin besar.

“Saya amat memandang serius perkara ini,” kata Nanta.

SPE dibuka sepenuhnya pada 3 Nov lalu mempunyai laluan tiga lorong dua hala dan tujuh persimpangan bertingkat.

SPE dibahagikan kepada empat seksyen utama iaitu Kerinchi – Salak (Seksyen 1), Salak – Pandan (Seksyen 2), Pandan – Setiawangsa (Seksyen 3) dan Setiawangsa – Taman Melati (Seksyen 4) dengan jarak keseluruhan sepanjang 20.7km.

Ia menghubungkan beberapa lebuh raya lain seperti Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT), Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuhraya Duta – Ulu Kelang (DUKE), Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2) dan lain-lain bagi meningkatkan kecekapan rangkaian dan mengurangkan kesesakan di ibu negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.