Kementerian teliti keperluan ujian psikometrik tahunan bagi pengasuh taska

Kementerian teliti keperluan ujian psikometrik tahunan bagi pengasuh taska

Langkah ini diteliti bagi mengukur tahap kesihatan mental dan kesejahteraan pekerja taska, kata Nancy Shukri.

Di Malaysia, ujian psikometrik diwajibkan hanya sekali pada peringkat kemasukan bagi golongan yang mahu terlibat dalam bidang taska.
PETALING JAYA:
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan meneliti keperluan menjalankan penilaian psikometrik tahunan bagi pengusaha dan pengasuh taska berdaftar.

Menterinya, Nancy Shukri berkata, dengan keputusan ujian yang dikemas kini, pihaknya dapat mengetahui tahap kesihatan pekerja bidang taska, khususnya kesihatan mental, yang menjadi antara aspek penting ketika mengendalikan kanak-kanak.

“Dalam pada kita nak naik taraf sistem, kita juga menyeru kepada mereka yang hendak menghantar anak, semak dahulu sama ada taska itu berdaftar atau tidak bawah kementerian,” katanya kepada pemberita di Kampung Pueh, Sematan, Sarawak, lapor Bernama.

Ujian psikometrik dijalankan bagi menilai personaliti, kesihatan dan kesejahteraan diri, kompetensi emosi serta kemahiran pengurusan konflik calon untuk memastikan prestasi baik mereka dalam pekerjaan.

Di Malaysia, ujian psikometrik diwajibkan hanya sekali pada peringkat kemasukan bagi golongan yang mahu terlibat dalam bidang taska.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.