
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi, berkata 11 SMJK dan SM (C) di Pulau Pinang yang membantah arahan itu bukan sekolah persendirian yang menggunakan sukatan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).
“SMJK tertakluk kepada dasar pendidikan KPM. Tidak wajar KPM dituduh memaksa.
“KPM melaksanakan dasar yang selari dengan Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI). SMJK kena terima. Mereka bukan sekolah persendirian Cina yang guna UEC,” katanya di Facebook.
Baru-baru ini media melaporkan lembaga sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) daripada 11 sekolah di Pulau Pinang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar.
Mereka mendakwa hampir semua ibu bapa di sekolah separuh kerajaan jenis Cina itu menentang dasar berkenaan dan enggan memasukkan anak ke kelas berkenaan.
Pada masa ini, sains dan matematik diajar dalam bahasa Inggeris di sekolah terbabit.
DLP adalah program bawah dasar MBMMBI yang memberi pilihan kepada sekolah untuk menggunakan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik.
Bagaimanapun, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam kenyataan semalam berkata pihaknya komited menyelesaikan isu berbangkit bagi memastikan program DLP dapat dilaksanakan dengan baik berdasarkan garis panduan dan mencapai objektifnya.
Fadhlina berkata, pihak sekolah hendaklah memastikan terdapat sekurang-kurangnya satu kelas di setiap tahun/tingkatan yang melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) menggunakan bahasa kebangsaan/ibunda sebagai bahasa pengantar bermula dengan Tahun 1 dan Tingkatan 1 untuk sesi persekolahan baru mulai 2024/2025.
Dalam pada itu, Puad yang juga bekas timbalan menteri pendidikan berkata alasan pihak sekolah bahawa ia beri kesan buruk kepada pelajar yang lemah bahasa Melayu juga tidak berbangkit, memandangkan mereka dibesarkan dengan persekitaran bahasa Melayu sebagai ‘lingua franca’.
“Justeru KPM mesti bertegas. Dasar MBMMBI tidak boleh dikompromi. Identiti kaum lain tidak akan terjejas kerana bahasa Melayu,” katanya.