IDEAS gesa gubal undang-undang perolehan susulan kontroversi Asia Mobiliti

IDEAS gesa gubal undang-undang perolehan susulan kontroversi Asia Mobiliti

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tricia Yeoh berkata satu cara untuk 'menginstitusikan ketelusan' ialah dengan meminta negeri-negeri tertakluk kepada perundangan perolehan kerajaan.

Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS Tricia Yeoh berkata undang-undang pemerolehan kerajaan akan membawa kepada keterbukaan yang lebih besar dan akauntabiliti awam. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Sebuah badan pemikir menggesa kerajaan menggubal undang-undang pemerolehan susulan kontroversi Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti).

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Tricia Yeoh, berkata satu cara untuk ‘menginstitusikan ketelusan’ ialah dengan meminta negeri-negeri tertakluk kepada perundangan perolehan kerajaan.

Walaupun mengalu-alukan penjelasan kerajaan Selangor berhubung pelantikan syarikat dikaitkan dengan suami seorang menteri sebagai penyedia perkhidmatan mobiliti untuk pembuktian konsep (POC) bagi perkhidmatan transit responsif atas permintaan (DRT) di negeri itu, namun katanya ia hanya dibuat selepas perkara itu dibangkitkan.

“Pada masa ini, tiada undang-undang khusus mengenai proses perolehan awam di Malaysia, dengan proses perolehan kerajaan sebahagian besarnya ditetapkan oleh satu siri pekeliling dan peraturan yang diterjemahkan kepada arahan daripada Kementerian Kewangan.

“Insiden ini menekankan kepentingan Akta Perolehan Kerajaan (GPA), yang akan menyediakan peraturan untuk pelbagai kaedah perolehan kerajaan supaya lebih berdaya saing dan telus, serta menunjukkan komitmen yang lebih kuat terhadap tanggungjawab fiskal,” katanya dalam kenyataan.

Pelbagai pihak menekankan kemungkinan layanan istimewa serta konflik kepentingan dalam pemilihan Asia Mobiliti, satu daripada dua firma untuk menjalankan POC selama sembilan bulan. Syarikat lain ialah Badanbas Coach Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif Asia Mobiliti ialah M Ramachandran, suami kepada Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Yeoh juga menggesa kerajaan negeri menerapkan standard tinggi dalam ketelusan perolehan seperti mendedahkan maklumat yang relevan pada setiap peringkat proses perolehan dengan menerbitkan pelan perolehan dan butiran pembida yang menang.

Beliau berkata pada masa ini, hanya enam negeri menerbitkan keputusan tender di portal berpusat iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.

“Malangnya portal berkenaan hanya memaparkan maklumat keputusan tender dan sebut harga, bukannya hasil kaedah perolehan lain seperti permohonan cadangan (RFP),” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.