Hantaran FB peguam tentang Asia Mobiliti tak sumbang wacana sihat, kata SKMM

Hantaran FB peguam tentang Asia Mobiliti tak sumbang wacana sihat, kata SKMM

Badan kawal selia Internet itu berkata, hantaran oleh itu Shamsher Singh Thind itu dilihat bertujuan 'mencemarkan nama seorang menteri'.

samseng
Pada 26 Mei, Shamsher Singh Thind membuat hantaran di Facebook mengenai Asia Mobiliti, syarikat yang dimiliki bersama oleh suami Hannah Yeoh.
PETALING JAYA:
Badan pengawal selia Internet Malaysia hari ini berkata, hantaran Facebook seorang peguam mengenai Asia Mobility Technologies Sdn Bhd (Asia Mobiliti) diturunkan kerana ia tidak mewujudkan wacana awam yang sihat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, hantaran itu ‘dilihat sebagai suatu penerbitan untuk mencemarkan nama seorang menteri persekutuan, dan tidak berniat mewujudkan perbincangan, wacana atau perdebatan yang sihat’.

Suruhanjaya itu menjawab surat tuntutan daripada peguam mewakili Shamsher Singh Thind berhubung permintaan SKMM supaya Facebook menyekat hantaran mengenai syarikat yang dimiliki bersama oleh suami Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.

Dalam hantaran pada 26 Mei itu, Shamsher menulis: “Congratulations DAP and Hannah Yeoh. Open tender is the way. Tapi dalam kes suami Hannah, tak ada tender, jadi apa yang di-opennya?”

SKMM berkata, Shamsher membuat hantaran tersebut ketika terdapat beberapa hantaran lain di Facebook yang mengandungi kata-kata yang menghina ‘dengan niat untuk mengganggu dan membuli Yeoh di alam siber’.

Menurut suruhanjaya itu lagi, Shamsher tidak cuba menyemak ‘rekod awam yang boleh diakses’, walaupun setelah Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Exco Selangor Ng Sze Han memberikan penjelasan pada 29 Mei.

Pada masa itu, Fahmi berkata, tiada kontrak diberikan kepada Asia Mobiliti, manakala Ng menafikan bahawa projek ‘Demand-Responsive Transit’ (DRT) itu melibatkan rundingan terus.

Selain Asia Mobiliti, Badanbas Coach Sdn Bhd dan Kumpool Sdn Bhd turut menyertai proses bukti konsep bagi projek tersebut.

“Walaupun maklumat tersebut telah tersedia ada, (Shamsher) tidak membuat sebarang percubaan untuk membetulkan atau mengemas kini hantaran yang dibuat, dan membenarkan penerbitan hantaran tersebut kekal dan berterusan dalam Facebook,” kata SKMM.

Langkah kerajaan Selangor memilih Asia Mobiliti, yang diterajui suami Yeoh, M Ramachandran sebagai CEO, menimbulkan pertikaian tentang kemungkinan wujudnya layanan istimewa dan konflik kepentingan.

Menurut SKMM, keputusan Facebook menyekat hantaran Shamsher adalah berdasarkan penilaian aspek undang-undang dan hak asasi manusianya.

Katanya, pemantauannya ke atas media sosial dijalankan secara bebas, tanpa sebarang pengaruh atau arahan daripada mana-mana pihak, termasuk Kementerian Komunikasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.