
Pengerusi Suriana Welfare Society James Nayagam berkata, ibu bapa dan kanak-kanak patut membuat perjanjian supaya mengelak laman web atau platform media sosial tertentu.
“Jika berlaku pelanggaran (perjanjian itu), ibu bapa mesti menarik balik kebenaran penggunaan (internet),” katanya.
Nayagam mengulas pengumuman Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil bahawa kementeriannya akan melancarkan kempen bagi menangani antunan seksual secara dalam talian dan menghalang kanak-kanak bawah usia 13 daripada mendaftar di media sosial.
Fahmi berkata, walaupun kementeriannya tiada kawalan terhadap peraturan bagi platform media sosial asing, beliau berharap kempen itu akan menghimpunkan semua agensi termasuk polis dan jabatan perlindungan data peribadi, supaya mengetengahkan langkah-langkah diperlukan bagi memastikan keselamatan dalam talian.
Menurutnya, ibu bapanya juga perlu membentuk kumpulan sokongan bagi saling mendidik mengenai persekitaran dalam talian terkini untuk kanak-kanak.
Sementara itu, Felo Kanan Persatuan Antikeganasan dan Profesional Keselamatan Antarabangsa, SL Rajesh berkata, walaupun ancaman pemangsa siber tidak mungkin dapat dihapuskan sepenuhnya, kesannya dapat dikurangkan dengan menggabungkan penyelesaian pencegahan, pendidikan, penguatkuasaan dan teknologi, seterusnya melindungi kanak-kanak daripada terus terdedah bahaya dalam talian.

Nayagam dan Rajesh bagaimanapun senada tidak bersetuju dengan cadangan seorang ahli akademik supaya pengguna memberikan bukti usia mereka ketika mendaftar untuk akaun media sosial menerusi dokumen peribadi seperti kad pengenalan.
Mac lalu, Siti Nasarah Ismail dari UiTM mencadangkan langkah itu kerana berkata ramai pengguna tidak jujur memberikan usia sebenar, walaupun platform media sosial menetapkan usia minimum 13 tahun.
Nayagam berkata, cadangan itu sukar dipraktikkan memandangkan platform seperti Facebook, Instagram, X dan TikTok berpangkalan di luar negara, dan tidak mewajibkan pengguna mendaftar menggunakan kad pengenalan.
“(Kanak-kanak) boleh memalsukan identiti menggunakan akaun atau kad pengenalan ibu bapa. Kita perlu menyedari cabaran yang dihadapi. Menetapkan peraturan adalah pendekatan lapuk.”
Rajesh berkata, walaupun pengesahan MyKad menjamin keselamatan kanak-kanak, menenangkan ibu bapa malah mungkin menyekat tingkah laku pemangsa, ia mampu mendedahkan terhadap pelbagai risiko termasuk kecurian identiti.
Beliau mencadangkan pendekatan alternatif untuk mewujudkan persekitaran selamat bagi pengguna muda, seperti mewujudkan mekanisme keizinan yang tidak memerlukan pengesahan MyKad, termasuk borang dalam talian yang selamat, atau sidang video.
Rajesh mencadangkan penggunaan sistem pelaporan masyarakat untuk menandakan akaun pengguna bawah umur, yang bekerjasama dengan perkhidmatan pengesahan pihak ketiga yang bereputasi baik, dan mengintegrasikan kad pengenalan digital bagi menangani masalah privasi.