80% pengguna diesel terima bantuan Budi Madani, kata Amir Hamzah

80% pengguna diesel terima bantuan Budi Madani, kata Amir Hamzah

Bantuan tunai bernilai RM200 ini ditetapkan selepas mengetahui data penggunaan serta data daripada DOSM, kata menteri kewangan II.

diesel
Pada 27 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Budi Madani melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.
KUALA LUMPUR:
Kira-kira 80% pengguna diesel akan menerima bantuan tunai bulanan bawah program Budi Madani untuk menampung perbezaan antara harga diesel semasa dan harga baharu yang akan ditentukan kemudian.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata, bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan itu ditentukan selepas mengkaji data dari segi penggunaan serta data Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

“Data-data kita terima daripada DoSM menunjukkan daripada tinjauan dilakukan Malaysia untuk kenderaan diesel terutamanya di Semenanjung Malaysia,” katanya dalam program Agenda Awani bertajuk ‘Perlaksanaan Subsidi Bersasar Diesel’, malam ini.

Beliau berkata, pengiraan bantuan tunai itu menggunakan mekanisme yang diperoleh daripada data sedia ada dan ia akan dapat meringankan beban pengguna akibat kenaikan berkenaan.

Kerangka Ekonomi Madani memberi tiga fokus penting, iaitu meningkatkan siling sedia ada dalam menambah pendapatan negara, memberi peluang melabur balik kepada perkara penting untuk rakyat, serta meningkatkan kesejahteraan rakyat dan meningkatkan tatakelola negara supaya lebih efisien.

Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi ini merupakan inisiatif yang memenuhi ketiga-tiga fokus ini.

“Sekiranya kita dapat mengurangkan ketirisan, pendapatan negara akan naik dan kita boleh belanjakan balik kepada rakyat dari segi infrastruktur, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Pada 2019, katanya, subsidi diesel hanya berjumlah RM1.4 bilion berbanding tahun lepas yang merekodkan RM14.4 bilion, peningkatan 10 kali ganda.

Beliau juga berharap orang ramai memahami usaha kerajaan dalam melaksanakan langkah-langkah membaik pulih ekonomi negara untuk kepentingan rakyat dan mencapai ruang fiskal lebih baik untuk negara.

Penjimatan dianggarkan sebanyak RM4 billion daripada penyasaran subsidi diesel dijangka memberi ruang fiskal lebih luas kepada kerajaan dalam usaha mempertingkatkan kualiti pelbagai perkhidmatan.

Pada 27 Mei lepas, Kementerian Kewangan mengumumkan pelaksanaan Budi Madani melibatkan pemilik kenderaan diesel persendirian bagi individu, petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

Program tersebut melengkapi usaha sedia ada kerajaan dalam menyasarkan subsidi diesel menerusi sistem MySubsidi Diesel kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) merupakan program bawah MySubsidi Diesel.

Pendaftaran Budi Madani dibuka mulai 28 Mei lepas susulan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.