
Menurutnya, jawatankuasa teknikal berkaitan akan membentangkan kajian itu kepada majlis yang keanggotaannya bukan hanya dari kerajaan tetapi majikan supaya pandangan kumpulan itu turut diambil kira.

“Kaji selidik gaji minimum telah selesai. Tunggu mesyuarat majlis perundingan dan kemudian dibentang untuk dibincang kerajaan, wakil majikan dan pekerja,” katanya pada sesi townhall Projek Rintis Dasar Gaji Progresif di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.
Sim turut memberi jaminan penetapan gaji minimum itu akan memberi ‘situasi menang-menang’ untuk semua pihak.
“MPGN bukan hanya terdiri daripada pihak kerajaan tetapi juga majikan, pasti wakil majikan akan diberi peluang untuk meluahkan pendapat dan lakukan pembahasan.
“Kerajaan rasional..tengok data sebelum sebarang keputusan dibuat,” katanya.
Pada Mac lalu, Sim berkata kerajaan akan mengkaji semula gaji minimum tahun ini dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk majikan selain berpandukan Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011.
Kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,200 kepada RM1,500 pada Mei 2022.
Bagaimanapun, syarikat yang mempunyai kurang daripada lima pekerja diberikan pengecualian kenaikan itu sehingga 1 Jan 2023 dan dilanjutkan lagi hingga Julai tahun itu.
Pada 2023, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mencadangkan dasar gaji progresif bertujuan untuk melengkapkan gaji minimum, namun tidak secara sewenang-wenangnya kerana perlu mengambil kira kemampuan majikan serta keadaan ekonomi.