Siasatan serangan pemandu OKU di peringkat awal, kata polis

Siasatan serangan pemandu OKU di peringkat awal, kata polis

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard mengesahkan ia mengendalikan siasatan berkenaan.

azri walter
Pengarah JIPS Azri Ahmad berkata jabatan itu akan melaksanakan siasatan secara telus tanpa sebarang kompromi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman mengesahkan ia mengendalikan siasatan dalam dakwaan serangan terhadap seorang pemandu e-hailing yang kurang upaya, dengan siasatan masih di peringkat awal.

Pengarah JIPS Azri Ahmad berkata, pihaknya meneliti aspek disiplin khususnya dari aspek tatatertib terhadap anggota pengiring orang kenamaan di sebuah hotel di ibu negara, baru-baru ini.

“Mangsa seorang lelaki berbangsa Cina, orang kurang upaya (OKU) telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 5 Jun 2024, pukul 11 pagi bagi membantu siasatan tatatertib dengan diiringi peguam dan jurubahasa.

“JIPS akan meneliti kes ini dari sudut SOP untuk mengesan sebarang pelanggaran atau salah laku semasa pelaksanaan penugasan. Siasatan masih di peringkat awal, dan JIPS akan memanggil saksi-saksi lain bagi melengkapkan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, jabatan itu akan mengendalikan siasatan secara telus dan tanpa kompromi.

Terdahulu, peguam N Surendran berkata polis turut melihat kepada laporan pertama mangsa, Ong Ing Keong, yang ditarik balik dan apa yang diperkatakan ‘penyelesaian’ kes.

Ong mengambil masa kira-kira empat jam memberi keterangan kepada polis.

Surendran berkata, tiada penjelasan memuaskan diberi berkait insiden, dan terdapat keterangan mencukupi membuktikan serangan memang berlaku.

Minggu lalu, Ong mendakwa diserang polis pengiring kenamaan ketika menunggu penumpang di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Pada Rabu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Aman Shuhaily Zain berkata polis menyiasat pengiring itu kerana sengaja menyebabkan kecederaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.