
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dikatakan telah mengeluarkan arahan itu walaupun sebab sebenar penggantungan itu tidak diketahui.
Di bawah peraturan penerbangan, ASL diperlukan untuk mengangkut penumpang, mel atau kargo melalui udara untuk ‘sewa atau upah’ antara dua tempat atau lebih dalam kawasan sempadan Malaysia.
Satu sumber berkata syarikat itu masih boleh beroperasi tetapi ia dihalang daripada mengendalikan perkhidmatan udara yang melibatkan perkhidmatan penumpang ‘sewa atau upah’.
“Bagaimanapun, mereka dibenarkan untuk memajak pesawat mereka,” katanya.
Semakan dengan laman web CAAM dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menunjukkan bahawa SAS tiada dalam mana-mana senarai ASL yang diluluskan. Tempoh bila perintah penggantungan itu dikeluarkan juga tidak diketahui.
Syarikat itu adalah salah satu firma yang dilesenkan untuk menguji juruterbang, kru kabin dan pengawal trafik udara mengenai penguasaan bahasa Inggeris mereka, namun turut digantung daripada menjalankan tugas itu, menurut laman web CAAM.
Nombor telefon SAS yang disenaraikan di Facebooknya tidak lagi berada dalam perkhidmatan manakala laman webnya tidak boleh diakses.
Bagaimanapun, dalam catatan Facebook kira-kira 7 pagi semalam, syarikat itu berkata ia mempunyai ‘minggu yang berhasil dan bersejarah’ selepas menjalankan ‘line training, kesedaran kepada orang ramai mengenai operasi pesawat laut’ dan memperolehi ‘pengendorsan CAAM’.
FMT telah menghubungi CAAM dan Mavcom untuk mendapatkan ulasan.
Syarikat penerbangan itu ditubuhkan pada 1992 dan beroperasi dari hangar SAS di lapangan terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.
Perniagaan dijalankannya terdiri daripada khidmat nasihat dan perundingan pakar penerbangan dalam pengangkutan udara, termasuk pemajakan atau sub-pajakan peralatan pesawat, alat ganti dan jentera berkaitan.
SAS juga menawarkan menyediakan perkhidmatan helikopter dan sayap tetap.
Perkhidmatannya termasuk lawatan bandar, luncuran udara dan operasi pesawat laut. Ia merupakan syarikat pertama yang mengendalikan perkhidmatan pesawat laut di Malaysia, yang bermula tahun lepas.