
Beliau mendakwa, ia dilakukan selepas segala usaha kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional pimpinan Anwar Ibrahim memperalatkan pelbagai agensi kerajaan bagi mencipta naratif, persepsi serta mengada-adakan pertuduhan politik ke atas pemimpin Bersatu termasuknya gagal.
“Ini merupakan taktik lapuk yang memperlihatkan kemandulan kerajaan PH-BN dalam usaha terdesak menutup mulut pengkritik dengan menyasarkan pemimpin Perikatan Nasional dan ahli keluarga mereka.
“Saya percaya akhirnya kebenaran akan mengatasi kebatilan dan kezaliman,” katanya dalam kenyataan.
Pagi tadi Muhammad Faisal, 40, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan berkenaan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima rasuah daripada Izmir Abd Hamid, sebagai bayaran untuk Heitech Padu Bhd (Heitech Padu) melantik Syarikat Rimba Merpati Sdn Bhd dan Syarikat Per My Solutions sebagai perunding pemasaran.
Kesalahan itu dikaitkan dengan Heitech Padu yang dikatakan diberi tender RM33 juta oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) untuk pembekalan, penyewaan, pelaksanaan, latihan, sokongan dan penyelenggaraan infrastruktur keselamatan.
Pada April tahun lalu, Faisal turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban terhadap sembilan pertuduhan berhubung penyelewengan minyak masak bersubsidi.