
Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkata, perkara itu dibangkitkan semasa pertemuan dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bagi Hak Asasi Manusia, Volker Turk di Parlimen semalam.
“Sebuah negara perlu ada wawasan bertunjangkan nilai asas yang diperlukan dalam masyarakat harmoni, berkembang maju dan aman tanpa melupakan konsep ihsan serta hak asasi manusia.”
Katanya, lawatan Volker dan delegasinya ke Malaysia atas jemputan kerajaan sebagai sebahagian usaha berterusan negara memupuk kerjasama dengan PBB bagi meningkatkan kesedaran serta pemahaman mengenai hak asasi manusia untuk dinikmati semua rakyat.
Dalam hantaran berasingan, Anwar menerima kunjungan hormat Menteri Negara bagi Perdagangan Luar Emiriah Arab Bersatu, Thani Ahmed Al-Zeyoudi.
Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan itu, yang turut disertai Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Aziz ialah kerjasama dua hala kedua-dua negara dalam bidang ekonomi.
“Alhamdulillah, banyak kerjasama yang telah diusahakan antara agensi dan juga syarikat kedua-dua negara sebelum ini dan juga yang dirancang pada masa depan.”
Menurutnya, komitmen lebih padu dan erat dijangka dapat diteroka menerusi kerjasama ekonomi lebih mendalam, khususnya melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif (CEPA) yang sedang dirundingkan.
Tengku Zafrul pula berkata, kedua-dua negara mengesahkan komitmen untuk menandatangani perjanjian itu dalam tahun ini.
Sebagai perjanjian perdagangan bebas pertama Malaysia dengan anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC), ia dijangka membuka jalan ke arah kerjasama ekonomi lebih mendalam dan memupuk persekitaran kondusif untuk peningkatan aliran perdagangan serta pelaburan kedua-dua negara, Asean dan rantau GCC secara amnya.