Ejen insurans rugi lebih RM283,000 terpedaya kerja sambilan tak wujud

Ejen insurans rugi lebih RM283,000 terpedaya kerja sambilan tak wujud

Suspek menjanjikan kerja sambilan yang mampu memperoleh keuntungan berlipat kali ganda.

scammers
Polis berkata mangsa membuat beberapa transaksi bermula 15 hingga 26 Mei lalu dengan jumlah RM283,225 ke dalam akaun didaftarkan atas nama dua syarikat berbeza.
MUAR:
Seorang ejen insurans kerugian RM283,225 selepas terpedaya dengan sindiket menawarkan kerja sambilan tidak wujud menerusi aplikasi telefon bimbit.

Ketua Polis Muar, Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata mangsa wanita berusia 42 tahun berhubung dengan seorang lelaki yang mengendalikan aplikasi berkenaan pada awal Mei lalu.

Beliau berkata, suspek menjanjikan kerja sambilan yang mampu memperoleh keuntungan berlipat kali ganda dan meminta mangsa membuka akaun menerusi aplikasi itu untuk menyertai kerja sambilan terbabit.

“Mangsa kemudian diminta membuat tangkap layar sebagai bukti kerja sambilan telah dilakukan, namun bagi mengeluarkan keuntungan kerja sambilan itu mangsa perlu membuat bayaran terlebih dahulu.

“Mangsa telah membuat beberapa transaksi (bayaran) bermula 15 hingga 26 Mei lepas dengan jumlah RM283,225 ke dalam akaun yang didaftarkan atas nama dua syarikat yang berbeza,” katanya dalam kenyataan.

Raiz berkata, mangsa kemudian diminta untuk membuat pembayaran lagi namun enggan mengikut arahan itu kerana masih belum menerima sebarang keuntungan, lalu membuat laporan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.