
Türk berkata, perbincangan dengan kerajaan ketika lawatan kerjanya ke Malaysia merangkumi isu perniagaan dan hak asasi manusia.
“Kami turut membincangkan isu perniagaan dan hak asasi manusia kerana kami tahu jika amalan perniagaan tidak berpaksikan hak asasi manusia, ia akan memudaratkan (pelaburan asing) pada masa akan datang,” katanya pada sidang media hari ini.
Türk berkata demikian menjawab pertanyaan sama ada eksploitasi pekerja asing akan menjejaskan usaha Malaysia menarik pelaburan asing.
PBB sebelum ini menyuarakan kebimbangan mengenai jumlah penipuan pekerjaan yang tinggi dan insiden pemerdagangan orang melibatkan pekerja asing yang dibawa ke Malaysia oleh agensi pengambilan pekerja.
Nasib sekumpulan pendatang Bangladesh yang datang ke Malaysia dengan harapan mendapat pekerjaan melalui proses migrasi buruh rasmi, namun terjebak dalam keadaan yang menyedihkan, turut menarik perhatian.
Türk bagaimanapun berkata, beliau mendapati wujudnya keterbukaan yang lebih besar apabila membincangkan perkara berkaitan migrasi, berbanding 20 tahun lepas.
“Saya rasa hakikat bahawa Malaysia sedar wujudnya isu-isu (sebegini), dan mahu menanganinya, adalah bagus,” katanya.
Terdahulu, Türk menggesa kerajaan mengembalikan akses pusat tahanan kepada badan pemantau negara dan Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Saya dengar laporan yang membimbangkan daripada beberapa interlokutor tentang keadaan yang teruk dan layanan buruk di pusat tahanan, (dan ia) perlu disiasat,” katanya.
Ditanya sama ada beliau membangkitkan kebimbangan mengenai penganiayaan di pusat tahanan dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Türk bagaimanapun menjawab tidak.